• Hang Lekir

3,000 kg susu ibu rentas sempadan sejak awal April

Ribuan rakyat Malaysia masih berada Singapura sama ada terus bekerja atau terkandas susulan penularan wabak Covid-19 dan penutupan pintu sempadan. Ia termasuk golongan ibu yang terpaksa meninggalkan anak kecil mereka di Malaysia kerana mencari rezeki di negara jiran tersebut. Di sebalik kawalan pergerakan di kedua-dua negara, golongan ibu warga Malaysia di Singapura masih berjaya menghantar bekalan susu badan buat anak mereka di negara ini, lapor Astro Awani. Usaha itu dilakukan oleh Ahli Parlimen Stulang, Andrew Chen menerusi kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk penghantar barangan sejuk beku dan pengendali kenderaan pengangkutan di Johor Bahru. Setakat ini, susu badan ibu melalui kiriman peti seberat 3,000 kilogram berjaya dihantar merentasi sempadan. Andrew berkata, beliau mengambil inisiatif demikian sebagai menyahut rayuan melalui laman sosial kumpulan 350 ibu-ibu warga Malaysia yang kini berada di Singapura atas urusan kerja. Mereka tidak dapat pulang walaupun secara berkala kerana pergerakan antara Singapura dan Johor Bahru terbatas. Sebelum ini, golongan ibu berkenaan dilaporkan mengepam dan menyimpan susu badan sebelum membawanya pulang dari Singapura ke Johor Bahru, sekurang-kurangnya seminggu sekali. Dilaporkan dari Singapura kiriman bekalan susu badan ibu-ibu dihantar ke beberapa destinasi bukan sahaja Johor Bahru, malah ke seluruh negara. Pada minggu pertama April, pasukan itu mengumpul dan mengimport kiriman susu badan dari kumpulan pertama ibu-ibu warga Malaysia di Singapura membabitkan 30 peti sejuk-beku seberat 600 kg. Bagi kiriman minggu kedua, sebanyak 118 peti susu ibu seberat 2,300 kg dikumpul di fasiliti bilik sejuk di Singapura sebelum dikirimkan ke pelbagai alamat di Johor Bahru, Perak, Pulau Pinang dan Kedah. Setiap penghantaran dikenakan bayaran antara RM30 hingga RM200, bergantung kepada jarak destinasi dari Johor Bahru.

27 views

©2020 by HyperlokalMY