• Hang Lekir

5 Lokasi misteri, bersejarah di Sabah untuk dikunjungi semasa PKPP

Sabah terkenal sebagai lokasi pelancongan menarik daripada Gunung Kinabalu, pulau-pulau dan keindahan pantai, selain makanan laut yang murah dan segar.


Sebelum penularan pandemik Covid-19, setiap tahun Sabah menerima jutaan pelancong dari Semenanjung Malaysia dan luar negara, sehingga tempahan di pulau-pulau mahupun resort dan homestay khususnya di Kundasang sentiasa penuh.


Susulan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan kerajaan Sabah membenarkan penduduk Semenanjung masuk ke negeri itu, ramai yang mula merancang melancong ke Negeri di Bawah Bayu.


Bagi pengunjung yang mencari kelainan ketika kunjungan ke Sabah, anda boleh melawat ke lima lokasi bersejarah yang tersingkap di sebaliknya kisah misteri.



1. Rumah Besar Kinarut


- Terletak di Jalan Baru Kota Kinabalu-Papar, kira-kira 20 kilometer dari bandar raya Kota Kinabalu, Rumah Besar Kinarut menyimpan pelbagai cerita misteri.


Ada penduduk mendakwa rumah besar yang ditemui secara tidak sengaja oleh Lembaga Kemajuan Perhutanan Sabah (SAFODA) ketika kerja penerokaan tanah untuk penanaman pokok akasia pada Ogos 1990 itu, dihuni oleh 'hantu tinggi'.


Bukan sekadar itu, kononnya ada yang mendakwa pernah melihat `lembaga' lalu dengan laju dan seolah-olah terdengar suara pontianak pada waktu malam.


Penduduk menggelarkannya sebagai 'rumah Tuan Simon', merujuk kepada nama panggilan pemilik rumah besar itu dalam kalangan penduduk tempatan yang pernah bekerja di situ.



Ketika mula ditemui dan diketahui kewujudannya dalam kawasan hutan hampir 30 tahun lalu, orang ramai mengaitkannya sebagai rumah besar pertama dibina di Borneo Utara sekitar tahun 1910 hingga 1914.


Walaupun kini tinggal rangka, jelas ia seperti sebuah istana yang dibina dengan batu-bata, jubin dan konkrit.


Persoalan kenapa rumah besar itu dirobohkan sehingga kini masih misteri walaupun ada yang mengaitkannya akibat kejatuhan harga getah. Tidak kurang juga menyatakan rumah itu dirobohkan kerana ia dibina secara rahsia, tetapi dakwaan itu juga tidak dapat disahkan.



2. Kampung Budaya Monsopiad, Penampang


- Sebanyak 42 tengkorak tersusun rapi dalam rumah di Kampung Budaya Monsopiad di Penampang, menyimpan misteri tersendiri yang pasti mengundang perasaan ingin tahu pengunjung.


Dianggar berusia lebih 300 tahun, tengkorak tergantung di siling rumah itu dikaitkan dengan kisah pahlawan Kadazan iaitu Monsopiad yang gagah dan digeruni dengan keberanian memenggal kepala musuh.


Terletak di Kampung Kuai Kandazon, 15 kilometer dari bandar raya Kota Kinabalu, ia menjadi bukti kewujudan amalan memburu kepala oleh masyarakat pribumi Sabah, suatu ketika dulu.



Sebanyak 42 tengkorak yang disimpan dalam rumah khas dipanggil pondok tengkorak di kampung budaya itu dikatakan hasil 'buah tangan' diperoleh Monsopiad ketika memerangi musuh dan penceroboh kampungnya, termasuk orang yang datang untuk mencabarnya.


Selain sebagai koleksi bagi menunjukkan kehandalan dan kepahlawanan, semua tengkorak itu dikatakan menyimpan 'semangat' yang memberi kesaktian atau kekuatan luar biasa kepada pemiliknya, selain pelindung keluarga serta keturunan.


Sehingga kini, meskipun berusia ratusan tahun, semangat itu dipercayai masih wujud dan sesiapa yang ingin melihatnya perlu mematuhi pantang larang bagi mengelak kemarahan semangatnya.



3. Rumah Agam Agnes Keith



Rumah terletak di Jalan Istana, Sandakan suatu ketika dulu pernah didiami penulis, Agnes Newton Keith yang menghasilkan karya Land Below The Wind pada 1939 hingga memasyhurkan Sabah di mata dunia.


Agnes pernah menulis catatan pengalaman seram dilalui sepanjang tinggal di rumah itu, antaranya: “Saya tidak percaya pada hantu. Tetapi setiap hari saya melihat seorang wanita tinggi lampai mengucapkan selamat tinggal kepada suaminya, mengambil bayinya dan turun ke jalan seorang diri, berdiri di hujung jalan dan menoleh ke belakang.”


Pengalaman seram turut dialami seorang lagi penghuni, Rosemary, isteri kepada G L Carson yang menetap di situ selama 12 tahun (1955-1967). Rosemary tinggal seorang diri ketika suaminya bertugas di Kota Kinabalu.


Menurut Rosemary, dia terbangun pada waktu Subuh dan terdengar pintu di bilik hujung rumah ditutup beberapa kali, diikuti bunyi orang berjalan menuju ke biliknya.


Apabila membuka mata, Rosemary mendapati satu lembaga wanita berdiri di hujung katil sambil memerhati ke arahnya. Dia tidak mengetahui apa yang berlaku kerana selepas itu dia pengsan.



Seorang pembantu rumah yang bekerja ketika Tom Bayles tinggal di situ pada 1967 hingga 1968 pula terserempak dengan wanita berdiri di anak tangga.


Banyak lagi catatan yang dipamerkan di satu sudut rumah itu yang menceritakan kejadian seram dialami penghuni rumah berkenaan.



4. Agop Batu Tulug


Kewujudan 125 keranda purba daripada kayu balak yang disusun bertingkat dalam gua di Agop Batu Tulug, Kinabatangan, masih misteri bagi masyarakat setempat.


Kehadiran keranda daripada kayu belian dan merbau yang masih kukuh biarpun usianya dikatakan mencecah 400 hingga 900 tahun dalam gua di formasi batu kapur, turut dikaitkan dengan suku kaum Orang Sungai yang menyimpan pelbagai misteri berkaitan alam.


'Agop' dalam bahasa suku kaum Sungai bermaksud 'gua', manakala 'Tulug' ialah tempat tidur yang merujuk kepada tempat bersemadi orang mati.


Gua itu ditemui pada tahun 1984 dalam ekspedisi diketuai P Brietag, pengurus ladang tembakau di Batu Putih, Kinabatangan. Penemuan itu membawa penyelidik dari Muzium Sarawak, Barbara Harrisson bersama Muzium Sabah untuk membuat kajian.


Berdasarkan penyelidikan Harrisson, gua itu adalah tempat perkuburan masyarakat lampau selepas sebahagian kawasan daratan digenangi banjir besar.


Ada beberapa versi menceritakan mengenai 'pemilik' keranda dalam gua di formasi batu kapur itu yang mempunyai ketinggian 40 meter.


Pendapat pertama menyatakan ia tapak perkuburan orang Cina yang pernah membuat penempatan di Kinabatangan, manakala pendapat kedua mendakwa ia milik Orang Sungai kerana persamaan pada bentuk keranda berukir digunakan etnik itu yang ditemui di Agop Miasias, di Ulu Kinabatangan.


Dilaporkan pernah berlaku beberapa kejadian aneh termasuk pelajar perempuan dirasuk ketika mengikuti rombongan sekolah melawat keranda dalam gua itu.



5. Gua Madai


Gua Madai yang terletak dalam kawasan hutan simpan Madai Baturong, 13 kilometer dari pekan Kunak, adalah lokasi penuaian sarang burung yang diwarisi masyarakat Idahan sejak beratus tahun.


Di gua ini, terdapat cerita misteri, aneh dan mistik disampaikan dari mulut ke mulut masyarakat kampung.


Antaranya terserempak wanita misteri berambut panjang dan berpakaian serba hitam di pintu gua, selain kelibat kepala kambing bertenggek atas batu.


Diceritakan ada penjaga keselamatan di gua itu mendakwa pernah ternampak kambing berlari dalam gua sebelum hilang tanpa meninggalkan apa-apa kesan atau jejak. Apa yang menimbulkan misteri, dari mana datangnya kambing dalam gua memandangkan tiada penduduk berhampiran memelihara ternakan itu.



Di pintu gua pula, kalau 'bernasib baik' boleh terserempak perempuan berambut panjang berpakaian serba hitam duduk di atas batu. Namun, selepas mengalih pandangan dan menoleh semula ke arahnya, ia hilang.


Masyarakat Idahan percaya gua itu ada penunggu dan dihuni makhluk ghaib, selain mempercayai ia adalah penjaga burung layang-layang yang datang bersarang di gua berkenaan.


Di dalam gua, kewujudan dua bongkah batu besar menyerupai kerusi dan meja turut menguatkan kepercayaan mengenai kehadiran makhluk ghaib dengan andaian batuan itu adalah 'perabot' kediaman 'mereka'.


Kredit gambar: NSTP, lonelyplanet.com

270 views

©2020 by HyperlokalMY