• Pupa Kupa

'Abang Jamil' disaran gantikan giliran isteri selepas PKP



Pertubuhan Poligami Harmoni Malaysia (HARMONI) berpandangan tidak wajar bagi suami yang berpoligami membuat penggiliran sesama isteri-isterinya di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.


Justeru, HARMONI mencadangkan semua pengamal poligami di Malaysia menggantikan giliran isteri atau isteri-isteri yang terhutang ke waktu lain yang disepakati selepas tamat tempoh PKP.


Di bawah ini adalah kenyataan penuh pihak HARMONI yang diperoleh Hyperlokal untuk bacaan semua:-



KENYATAAN MEDIA

PERTUBUHAN POLIGAMI HARMONI MALAYSIA (HARMONI)


Kaedah Penggiliran Bagi Suami Yang Berpoligami Semasa Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)


1. HARMONI menyedari dan menginsafi bahawa situasi Covid-19 yang telah diisytiharkan oleh WHO sebagai pandemik yang berbahaya kini semakin serius dan amat menggusarkan. Setakat 5 April 2020, wabak ini telah merebak ke 180 buah negara di mana seramai 1,197,584 orang telah dijangkiti. Statistik di Malaysia pada tarikh yang sama pula menunjukkan bahawa seramai 3,662 rakyat Malaysia (melibatkan pelbagai peringkat umur, jantina dan bangsa) telah dijangkiti sehingga menyebabkan 61 kematian.


2. Sehubungan itu, HARMONI menyambut baik langkah kerajaan menguatkuasakan PKP berasaskan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Akta Polis 1967 dan beberapa Akta lain yang berkaitan demi membendung wabak Covid-19 ini.


3. HARMONI menyedari bahawa keseluruhan peraturan yang terdapat di dalam Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang baru digazetkan oleh Menteri Kesihatan pada 18 Mac 2020 ini sememangnya memberi kesan besar terhadap kehidupan seharian semua rakyat Malaysia termasuklah yang berpoligami. Di antara beberapa peraturan yang signifikan adalah seperti berikut:


(A) Peraturan 3(1) di dalam Peraturan tersebut:

"Tiada seorang pun boleh bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain di dalam mana-mana kawasan jangkitan kecuali bagi maksud yang berikut:

... (c) untuk membeli, membekalkan atau menghantar makanan atau keperluan harian".


(B) Peraturan 7(1) di dalam Peraturan tersebut:


"Mana-mana orang yang melanggar mana-mana peruntukan Peraturan-peraturan ini melakukan suatu kesalahan dan hendaklah, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali".


Memandangkan sebarang pelanggaran peraturan di bawah PKP ini merupakan suatu kesalahan jenayah (rujuk Peraturan 7), HARMONI menyeru agar semua pihak khususnya yang mengamalkan poligami agar menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan sebaik mungkin dengan mematuhi semua prosedur yang ditetapkan di bawah Peraturan 3 dan peraturan-peraturan lain di bawah Akta tersebut tanpa mengabaikan sebarang aspek keselamatan dan kesihatan diri sendiri, ahli keluarga dan/atau orang lain.


4. NAMUN,


Setelah meneliti dan mengkaji pelbagai bahan berikut:

• fatwa pelbagai negeri. • kitab keagamaan. • jurnal kesihatan. • manuskrip perundangan. • berita terkini oleh KKM dan MKN. • respon rakyat di media sosial.


DAN,


Setelah meneliti pelbagai faktor penting, di antaranya seperti berikut:

• betapa bahayanya cara virus Covid-19 ini menjangkiti sesiapa memandangkan tempoh inkubasinya selama 14 hari.

• betapa bahayanya cara virus Covid-19 ini menjangkiti sesiapa memandangkan terdapat ramai pesakit yang mengalami 'asymptomatic' (tidak bergejala tetapi positif), 'pre-symptomatic' dan sebagainya sehingga menyukarkan kita mengenali pesakit yang telah dijangkiti.

• betapa pentingnya semua pihak berganding bahu memerangi gelombang ketiga jangkitan Covid-19 yang dijangka pada pertengahan April 2020 nanti.

• betapa pentingnya semua pihak berganding bahu memutuskan SEMUA RANGKAIAN jangkitan.

• betapa pentingnya semua peraturan di sepanjang tempoh PKP ini dipatuhi supaya tempoh PKP ini dapat ditamatkan dengan segera demi kemakmuran bersama.


MAKA,


HARMONI berpandangan bahawa adalah TIDAK WAJAR bagi suami yang berpoligami membuat penggiliran sesama isteri-isterinya di sepanjang tempoh PKP ini.


5. Pandangan ini juga adalah selari dengan Maqasid Syariah iaitu menjaga nyawa. Di antara dalil syarak yang dirujuk adalah seperti berikut:

(A) Ayat 59: Surah al-Nisa'

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّـهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ


Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”


(B) Ayat 195: Surah al-Baqarah

Firman Allah SWT:

لَا تُلْقُوا۟ بِأَيْدِيكُمْ إِلَى ٱلتَّهْلُكَةِ


Maksudnya: “Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan…”


(C) Hadith No. 5707: Sahih al-Bukhari

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

وَفِرَّ مِنْ الْمَجْذُومِ كَمَا تَفِرُّ مِنْ الْأَسَدِ


Maksudnya: “Larilah daripada penyakit berjangkit seperti mana kamu lari daripada singa.”


(D) Kaedah Fiqh 1:

Ijmak daripada para ulama yang sepakat akan kaedah:

الضَرَرُ يُزَالُ


Maksudnya: “Kemudaratan perlu dihilangkan.”


(E) Kaedah Fiqh 2:

Ijmak daripada para ulama yang juga sepakat akan kaedah:


دَرْءُ المَفَاسِدِ أَولَى مِنْ جَلْبِ المَصَالِح


Maksudnya: "Menolak kerosakan itu lebih utama berbanding mendatangkan kebaikan".


6. Justeru, HARMONI menyarankan agar semua pengamal poligami di Malaysia agar menjalankan penggiliran seperti berikut:


(A) tetap tinggal di rumah yang berada sekarang demi memutuskan semua bentuk rangkaian jangkitan;


(B) mengganti giliran isteri (atau isteri-isteri) yang terhutang ke waktu-waktu lain yang disepakati selepas tamat tempoh PKP;


(C) memastikan pelaksanaan tanggungjawab untuk membeli, membekalkan atau menghantar makanan atau keperluan harian dengan cara menggunakan khidmat penghantar makanan atau pertolongan daripada jiran-jiran setempat ataupun pertolongan daripada ahli keluarga terdekat atau daripada ahli HARMONI terdekat;


(D) menjadi ahli HARMONI demi untuk memudahkan sebarang pemantauan dibuat oleh ahli-ahli HARMONI yang terdekat.


7. Pandangan tersebut di atas adalah merupakan pandangan rasmi HARMONI. Sebarang persoalan mengenai hukum halal atau haram membuat penggiliran itu adalah di bawah bidangkuasa jabatan mufti di setiap negeri untuk menetapkannya. Sekiranya para pengamal poligami masih ingin meneruskan penggiliran semasa PKP ini, tindakan berisiko itu adalah merupakan pilihan peribadi masing-masing.


8. Walaubagaimanapun, HARMONI berharap agar para pengamal poligami dapat bertoleransi sesama mereka seterusnya berganding bahu menghadapi gelombang ketiga jangkitan Covid-19 yang dijangkakan berlaku pada pertengahan April 2020 ini (seperti unjuran oleh WHO dan KKM) dengan cara mematuhi semua peraturan dan perintah yang diumumkan dari semasa ke semasa oleh pihak berkuasa Malaysia.


9. HARMONI juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih dan seinfiniti penghargaan kepada semua pihak yang berusaha membendung wabak Covid-19 ini terutamanya daripada kalangan pasukan perubatan, keselamatan, ekonomi dan semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung. Sesungguhnya Allah SWT sahajah yang mampu mengganjari mereka semua dengan sebaik-baik ganjaran. Ameen.

Sekian, terima kasih.


"BERSAMA MEMERANGI COVID-19"


Kenyataan Media ini Dikeluarkan Oleh:


-Dewan Perwakilan Pusat, HARMONI -Majlis Penasihat Pusat, HARMONI -Jawatankuasa Pusat, HARMONI


PERTUBUHAN POLIGAMI HARMONI MALAYSIA (HARMONI)


Bertarikh: 6 April 2020


259 views

©2020 by HyperlokalMY