• Hang Lekir

Ahmad Basri Akil pakar pencungkil 'ubi' di bumi jelapang padi

Jika masih hidup, hari ini iaitu (25 April) genaplah 81 tahun usia Bapa Pembangunan Bola Sepak Kedah, Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil. Dilahirkan pada tahun 1939, lagenda sepanjang zaman Hijau Kuning ini dikenali sebagai tokoh yang penuh dengan visi, karisma, bekerja kuat tanpa mengenal erti penat sepanjang pembabitannya dalam arena bola sepak. Daripada hanya pasukan kerdil, Allahyarham adalah individu yang mencorak skuad Hijau Kuning menjadi pasukan yang digeruni negara bermula pada lewat 80-an. Bagi menjadikan Kedah sebagai pasukan yang digeruni, Ahmad Basri merangka pelan pembangunan jangka panjang melalui pelbagai program akar umbi bagi mencungkil ‘ubi’ di negeri jelapang padi itu.


Selain pakar dalam melahirkan bakat baharu bola sepak, kewibaan beliau juga terserlah dalam meyakinkan ramai pemain bintang serta import yang berkualiti untuk menyertai Kedah. Menyebut beberapa nama seperti Radhi Mat Din, Ahmad Sobri Ismail, Lee Kin Hong serta pasangan kembar Feriza dan Farouk Ismail hingga ke era Khyril Muhymeen Zambri dan Baddrol Bakhtiar adalah hasil daripada perancangan arwah. Jasa beliau begitu agung dalam sejarah kehebatan pasukan Kedah, semua nikmat kejuaraan pertandingan bola sepak tempatan iaitu liga, Piala FA dan Piala Malaysia serta Piala Sumbangsih dirasai ketika era beliau.


Sumbangan bakti arwah bukan sahaja membabitkan pembangunan akar umbi, kejayaan di padang, malah beliau juga antara watak utama penetapan warna jersi Kedah dari merah kepada hijau kuning mengambil kepada warna padi. Iaitu tanaman sinonim di Kedah. Malah, lagu Biar Jasa Jadi Kenangan yang menjadi siualan semua penyokong Hijau Kuning sehingga kini juga adalah hasil cetusan idea arwah. Walaupun sudah 13 tahun arwah meninggal dunia iaitu pada 15 Julai 2008, jasa dan pengorbanannya sehingga kini dan mungkin selamanya akan dijulang seluruh peminat bola sepak Kedah. Al-Fatihah.

58 views

©2020 by HyperlokalMY