• Pupa Kupa

Antara akidah, virus dan pandangan mufti

'Apa nak ditakutkan dengan virus, kita kan ada Tuhan, kau sepatutnya lebih takutkan Tuhan, bukan takut kepada virus.' Kau terbaca ungkapan dan pandangan ini di skrin peranti ketika kau diam duduk di rumah mengikut arahan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan. Kau pada mulanya agak marah, namun perasaan itu mula pudar tatkala kau sendiri terfikir kata-kata itu ada benarnya. Jadi apa kau buat, kau mula rasa kau semakin jauh dengan Tuhan kerana sebelum ini kau amat takutkan jangkitan, kau takut akidah kau dipersoalkan. Tetapi, seperti manusia waras lain, kau buat pertimbangan, kau buat keputusan untuk mencari jawapan, Tuan Guru Google dicari, kau taip ‘Mufti Singapura’ kerana kau teringat satu muat naik di Twitter mengenai perdebatan takutkan virus atau Tuhan. Keputusan pencarian menunjukkan satu pautan dengan tajuk ‘Religion about priorities too, priority now is not to endanger community’. Kau pilih pautan itu, pautan dibuka dan terpampang laporan berita yang memetik pandangan Mufti Singapura. Kau pun baca, Mufti Singapura berkata selepas dialih bahasa di dalam kepala, “ini bukanlah masa untuk menjadi tidak waras dan tidak bertanggung jawab. “Biarlah saya berterus terang, kita takutkan Tuhan dengan menjadi seorang manusia yang bertanggung jawab, kita takutkan Tuhan dengan tidak mendatangkan mudarat pada orang lain. “Malah kita menjadi tidak takut Tuhan dengan menjadi sembrono dan tidak peduli untuk mengambil langkah menjaga keselamatan,” kata Dr Nazirudin Mohd Nasir. Kau lega, kau setuju, kau akui itulah pendirian kau sebelum ini. Kau ulang ayat si Mufti, dan kau kongsi dengan isteri yang berada di sebelah, yang sedang memerhati dan bertanya dalam hati, mengapa kau tersenyum sendiri. Ada berbaki 12 hari lagi, dan kau, aku dan mereka teruskan berdoa semoga keadaan kembali pulih seperti sedia kala. Amin.

#COVID19

24 views

©2020 by HyperlokalMY