• Hang Lekir

Antara keluarga dan sesuap nasi



Pengalaman rentas negeri ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19 antara pengalaman yang mungkin tak dapat dilupakan penulis. Agak menggusarkan apabila masyarakat diseru berada di rumah namun penulis merisikokan diri kembali ke zon merah kerana perlu berkhidmat bersama 'essential services' di ibu kota. Penulis yang sudah tiba di kampung halaman pada awal PKP sebelum ini merancang untuk berada di utara sehinggalah awal Syawal di sisi keluarga, namun manusia merancang Allah menentukan. Bukan melanggar perintah kerajaan untuk Just Stay at Home, tetapi penulis kembali ke jajahan Singa Utara kerana 'orang rumah' hendak melahirkan cahaya mata kedua kami, Alhamdulillah semuanya selamat, syukur pada Allah S.W.T. (tetapi isteri bersalin bersendirian, suami tak dibenarkan masuk). Panggilan pada 6 April lalu dari sebuah unit media di Kuala Lumpur memberikan berita gembira kedua buat penulis tatkala menjadi antara insan terpilih bersama ratusan lain gara-gara pengstrukturan semula syarikat. Penulis dalam situasi 50-50 mahu kembali berbakti di bumi Kuala Lumpur ketika kerajaan menyeru untuk rakyat kekal berada di rumah apatah lagi dengan peraturan yang diperketatkan. Namun kerana memikirkan tanggungjawab selaku ketua keluarga ataupun lebih enak disebut Manager, penulis menerimanya dan tekad pulang ke ibu kota pada Ahad lalu. Bermulalah perjalanan rentas negeri dan penulis beberapa kali bersua dengan sekatan jalanraya bertemu pihak polis dan tentera, mujurlah menerima surat pelepasan. Tabik untuk barisan hadapan!. Ketika memandu perasaan penulis bagaikan bukan berada di bumi Malaysia Negaraku tatkala lebuh raya agak lengang, malah penulis hanya singgah di kawasan Rehat dan Rawat (RNR) hanya untuk menjamah di dalam kereta. Paling merisaukan penulis apabila hampir tiba di Selangor (perjalanan melebihi 500km) minyak kereta hampir habis, mujurlah sempat isi dan waktu itu sudah hampir jam 8 malam. Kalau tidak, tidurlah penulis di dalam kenderaan tepi jalan raya dek kehabisan minyak kereta walaupun harga minyak murah ketika ini (kurang RM60 untuk full tank minyak jenis kenderaan kapasiti enjin1.5). Ketika bersemangat mahu mula berkhidmat untuk negara, penulis dimaklumkan perlu menjalani kuarantin secara sendiri selama 14 hari di rumah kerana sejarah merentasi negeri. Buat masa ini fikiran penulis masih kusut memikirkan baki 13 hari perlu diharungi seorang diri dan bukan itu saja, berpuasa dan tarawikh sendiri, namun setiap dugaan pasti ada hikmah di sebaliknya, hanya Tuhan yang tahu. Semoga Malaysia segera bebas daripada wabak COVID-19, semoga Allah merahmati bumi Malaysia, sama-sama kita tadah tangan memohon doa penyembuh dan penghapus dosa dari Maha Pencipta. Stay Home, Stay Safe! Jaga Diri Jaga Kesihatan, We Can Win This War, Insya-Allah. Penulis - Mr K (bukan nama sebenar) - adalah bekas tukang coret di sebuah syarikat konglomerat dan juga perantau di ibu kota

1,243 views

©2020 by HyperlokalMY