• Hang Lekir

Apa itu dilepas tanpa dibebaskan?


Semalam media melaporkan, anak tiri Datuk Seri Najib Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz, dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan pengubahan wang haram US$248 juta (RM1.25 bilion) berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Mesti ramai kurang jelas istilah dilepas tanpa dibebaskan kan? Berdasarkan carian laporan media sebelum ini, sebarang pertuduhan yang digugurkan sewaktu perbicaraan belum bermula dan saksi belum dipanggil adalah ‘dilepaskan tanpa dibebaskan’. ‘Dilepaskan tanpa dibebaskan’, merupakan sesuatu kes terhadap seseorang individu yang dituduh itu digugurkan, namun pihak berkenaan tidak dibebaskan oleh mahkamah. Ia bermaksud, pendakwa raya boleh jika mahu untuk mendakwa semula tertuduh. Berlainan sekiranya terdapat pembebasan (acquittal), pendakwa raya tidak boleh mendakwa semula kerana ini dihalang oleh Perkara 7(2) Perlembagaan berkenaan dengan perbicaraan berulang Mengambil contoh kes 2017, Mahkamah Majistret Seremban melepaskan tanpa membebaskan Azizan Manap, 44, atau Cikgu Azizan daripada pertuduhan mencederakan muridnya pada Oktober 2017.


Mahkamah membuat keputusan tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad memaklumkan pendakwaan menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan berkenaan.

Menurut laporan Sinar Harian sebelum ini, seorang pakar undang-undang berkata, keputusan mahkamah untuk melepaskan tanpa membebaskan pihak berkenaan adalah satu perkara biasa dari sudut perundangan negara. “Ini bukannya perkara luar biasa memandangkan mahkamah tidak boleh membebaskan tertuduh kalau tidak mendengar keterangan saksi dan melihat merit kes. “Sebab itu bila gugur pertuduhan sebelum perbicaraan bermula ia bukannya merupakan pembebasan atau acquittal,” katanya. Pakar itu turut memberitahu bahawa berkemungkinan pesalah untuk didakwa semula selepas ini tidak mustahil berlaku, namun kemungkinannya adalah sangat rendah.

426 views

©2020 by HyperlokalMY