• Hang Lekir

Banjir cetus cinta pada piring hitam


Kejadian banjir yang melanda Perlis pada 2010 mencetuskan bibit cinta seorang peniaga terhadap piring hitam. Daripada 70 koleksi, Mushtari Muhammad, 48, kini mempunyai lebih 5,000 koleksi piring hitam hingga mampu membuka sebuah Galeri Seni Piring Hitam di Taman Sena Indah, Kangar.


Segala-galanya bermula apabila dia menemui kira-kira 70 keping piring hitam lama milik arwah bapanya, ketika mengemas harta benda, dalam usaha mengelak banjir. "Melihat koleksi piring hitam arwah bapa (Muhammad Salim) memberi idea kepada saya untuk mewujudkan sebuah galeri bagi menempatkan semua simpanan ini. "Sejak itu, saya mula serius mengumpul koleksi piring hitam hingga sanggup mengeluarkan belanja besar kerana setiap satu berharga sekurang-kurangnya RM100 sekeping," katanya kepada Hyperlokal.


Sejak memulakan usaha terbabit, setakat ini Mushtari sudah mempunyai koleksi lebih 5,000 keping piring hitam, membabitkan pelbagai genre lagu, artis tempatan dan antarabangsa, sejak 1960. "Koleksi piring hitam ini meliputi semua era artis tempatan dan antarabangsa. Ada koleksi era The Beatles dan Tan Sri P Ramlee hingga yang terbaharu, album Faizal Tahir iaitu Anatomi, berada dalam simpanan saya. "Ada yang dibeli secara dalam talian serta melalui kenalan dan kini sudah lebih 5,000 keping. Namun, ruang galeri yang terhad, menyebabkan hanya kira-kira 2,000 mampu dipamerkan dalam satu masa," katanya yang merancang membesarkan galeri terbabit. Namun, katanya buat sementara waktu galeri berkenaan ditutup sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.


“Sebelum ini, ketika sebelum wabak Covid-19, pengunjung perlu membuat temu janji terlebih dahulu kerana hanya lima orang dibenarkan masuk pada sesuatu masa. "Saya sengaja hadkan kemasukan pengunjung bagi memberi peluang kepada mereka menikmati alunan muzik tanpa sebarang gangguan. Ia juga memudahkan saya memberi penerangan mengenai sejarah, muzik dan artis pada setiap koleksi piring hitam yang dimiliki kepada pengunjung,” katanya. Katanya, mereka yang berminat untuk melawat galeri selepas PKP boleh menghubunginya menerusi talian 017-577 2005 bagi temu janji.




46 views0 comments

Recent Posts

See All