• Pupa Kupa

Bossku padam hantara FB selepas dikecam penyokong Liverpool

Updated: Mar 30



Gara-gara mencadangkan supaya musim Liga Perdana Inggeris (EPL) 2019/2020 dibatalkan, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dikecam netizen, khususnya penyokong Liverpool.


Dalam satu hantaran di Facebook malam tadi, Ahli Parlimen Pekan itu memuat naik hantaran ini:


"Sukan Olimpik dan Paralimpik telah ditangguh setahun kerana Covid.


Apa kata musim EPL 2019/2020 ini juga dibatalkan? Musim ini tak kira.


Tahun depan kita start semula selepas wabak Covid selesai. Ada OK?"



Bagaimanapun, hantaran itu mendapat kecaman penyokong Liverpool yang masih berharap agar wabak Covid-19 reda secepat mungkin bagi membolehkan baki saingan EPL bersambung segera.


Ini kerana Liverpool kini hanya memerlukan enam mata, atau kemenangan saja lagi bagi mengesahkan kejuaraan EPL buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun.


Liverpool kini menduduki tangga teratas liga dengan 82 mata daripada 29 perlawanan, manakala pencabar terdekat, Manchester City jauh tertinggal dengan 57 mata menerusi 28 perlawanan.


Umum mengetahui, Najib adalah penyokong kuat Manchester United, iaitu musuh ketat Liverpool dalam saingan EPL.


Tidak lama selepas memuat naik cadangan yang tidak disenangi oleh penyokong Liverpool itu, Najib kemudian memuat naik satu lagi hantaran:


"Oleh kerana ramai yang kecam, saya padam post dan tarik balik cadangan saya tadi. 😅😅😅



Apa pun ramai netizen percaya Najib sekadar bergurau dengan tujuan membahan penyokong Liverpool.


Malah, ramai peminat The Reds yang juga pengikut Facebook bekas Perdana Menteri itu juga tidak terlalu mengambil serius isu berkenaan dan menganggapnya sebagai gurauan.


Pada 19 Mac lalu, FA Inggeris membuat ketetapan saingan EPL akan terus ditangguhkan sekurang-kurangnya sehingga hujung bulan depan.


Bagaimanapun, saingan liga akan dipanjangkan bagi membolehkan kesemua perlawanan musim ini dihabiskan.

49 views

©2020 by HyperlokalMY