• Hang Lekir

COVID-19 mengubah 'lagu dan irama' Bandar Muzik Dunia

Walaupun diisytiharkan zon hijau dengan tujuh kes positif COVID-19 dicatatkan setakat ini, ia tidak dijadikan alasan oleh penduduk Hamamatsu untuk meneruskan kehidupan harian seperti biasa. Hamamatsu adalah bandar dalam wilayah Shizuoka, dihuni kira-kira 790,000 penduduk dan menjadi ahli kepada ‘alliance for healthy cities’ di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Terletak 260 kilometer dari barat daya Tokyo, Hamamatsu turut dikenali sebagai ‘City of Music’ kerana menempatkan nama besar industri pembuatan alat muzik terbaik di dunia seperti Roland, Yamaha dan Kawai.


Menerusi perkongsian seorang jurutera automasi Malaysia yang bekerja di sana, virus coronavirus itu menukar wajah bandar yang saban tahun menjadi tuan rumah kepada 10 festival muzik bertaraf antarabangsa. Menurut Elyas Fauzi Salleh Fauzi, langkah kerajaan Jepun mengumumkan deklarasi darurat atau lebih tepat kecemasan perubatan tidak membabitkan sebarang perintah berkurung. Jelasnya, deklarasi darurat itu hanya membenarkan kerajaan menggunakan mana-mana tanah atau bangunan bagi tujuan perubatan tanpa mendapat persetujuan tuan tanah. “Menerusi deklarasi itu juga kerajaan Jepun akan mengawal bekalan yang perlu, orang ramai tidak keluar bekerja atau hanya ‘work from home’, kedai-kedai pula ditutup. “Yang membezakan keadaan di sini dengan di Malaysia adalah langkah yang dilakukan di sini lebih berbentuk permintaan daripada kerajaan tempatan, bukan satu bentuk arahan.


“Walaupun ada masalah dalaman (langkah bantuan ekonomi dan sebagainya), rakyat dan peniaga serta pemilik syarikat memberi kerjasama sejak deklarasi darurat diumumkan,” katanya. Tambah Elyas Fauzi, Hamamatsu turut menyaksikan tindakan mengekang penularan virus dilakukan secara total, antaranya ruang bermain kanak-kanak ditutup dan troli pasaraya dilap dengan penyahjangkitan. “Di sini memang nampak ketara kurang orang keluar, sama ada untuk beriadah atau untuk ke pasar raya, bandar yang sentiasa sibuk bertukar wajah, jalan raya lengang, taman-taman sunyi, dan berlawanan sekali dengan gelaran bandar muzik dunia. “Dari segi bekalan makanan, saya tidak berdepan sebarang masalah, pasar raya masih dibuka seperti biasa, namun waktu perniagaan dipendekkan dengan kebanyakkan dibuka lewat sejam, dan ditutup awal sejam. “Untuk barangan keperluan bukan makanan, belian boleh dibuat secara ‘online’. “Kami di sini turut amalkan ‘social distancing’, sejak kes Covid19 meningkat secara mendadak, kami tidak anjurkan apa-apa jamuan,” katanya. Walaupun ada sekolah, taska dan tadika yang dibuka, Elyas Fauzi berkata, kebanyakan rakyat memilih untuk duduk di rumah dan mengelak daripada keluar rumah pada hujung minggu.


“Pergi kerja pakai topeng muka, kalau perlu keluar, kami keluar pada hari bekerja untuk kurangkan ‘contact’. “Topeng muka dan alkohol untuk penyahjangkitan sukar didapati, bagaimanapun kami ada stok yang banyak sebab sentiasa bersedia menghadapi influenza setiap tahun,” katanya. Akhir sekali Elyas Fauzi turut berkongsi isi laporan berita oleh media tempatan. Katanya, antara aspek yang sering ditimbulkan media adalah pakej rangsangan ekonomi yang dilihat sebagai unsur penting mencorak masa depan rakyat Jepun pasca COVID-19, masalah bekalan perubatan dan keperluan untuk pendekatan ‘total lockdown’. “Turut dilaporkan isu kerjasama kedai untuk menghentikan operasi, masalah ketidak sediaan hospital menangani penyakit berjangkit luar jangka dan bekalan kit ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) yang tidak mencukupi,” katanya.


**Kredit gambar Elyas Fauzi Salleh Fauzi

142 views

©2020 by HyperlokalMY