• Pupa Kupa

COVID-19 : 'Merantai' kembali yang terpisah




Catatan hari ke-26 #PKP.


Dari tak mahu ambil tahu langsung cara buat donut, aku kini dah boleh uli donut.


Dari tak pernah sekali pun berani gunting rambut anak walaupun untuk 'trim' rambut depan, sekarang pejam mata pun 'maybe' boleh buat.


Apa lagi? Sedar tak sedar, 1,001 perubahan berlaku sepanjang tempoh PKP ni.


Ada yang berjaya ganti puasa yang tinggal masa bersalin. Sebelum ni tak berganti-ganti walaupun anak dah 4 tahun.


Ada yang tak pernah jejak tikar sejadah, sekarang lepas Maghrib satu muka surat Al-Quran setiap hari wajib.


Ada yang terasa ke? Sesungguhnya Allah mungkin nak tunjuk masih belum terlambat.


Mungkin di sebalik keluh kesah kita, 'terpenjara' di rumah sendiri, ada yang bersyukur terjadinya PKP.


Anak-anak yang selama ni matahari belum keluar dah ditinggal mak bapak, matahari dah tenggelam baru jumpa mak bapak, mungkin paling gembira.


Mungkin ada yang tak pernah langsung merindui ibu bapa selama ni, sekarang dilanda sakit rindu. Kita tak tahu kan?


Dalam tak sedar, ujian ini menyatukan kita.


Biarpun, rantaian Covid-19 'merantai' kita semua buat masa ini atau menjarakkan kita 1 meter atau beribu kilometer sekali pun, satu yang pasti, hadirnya menyatukan setiap inci yang terpisah selama ini.


Que Que (bukan nama sebenar) adalah bekas penulis di sebuah syarikat media terbesar negara.


Penulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Hyperlokal

70 views

©2020 by HyperlokalMY