• Pupa Kupa

Covid-19: Pakcik enggan jalani ujian dipaksa ke hospital.


Sejak semalam, video seorang pakcik dipercayai enggan menjalani pemeriksaan Covid-19 tular di media sosial.

Sebenarnya pakcik berusia 63 tahun dari Taman Mutiara, Sungai Bedaun di Labuan itu adalah kontak pertama anak lelakinya yang hadir perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling, Selangor, pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu.


Memetik laporan portal Berita Sabah, Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad, berkata siasatan mendapati pada 17 Mac lalu, lelaki itu diarah hadir secara sukarela bagi menjalani ujian Covid-19 di Hospital Labuan, namun tidak diendahkan.


“Berikutan itu, pasukan pegawai perubatan Hospital Labuan pergi ke alamat lelaki itu untuk membawanya ke hospital bagi menjalani ujian Covid-19 namun dia enggan memberi kerjasama,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Labuan meminta bantuan polis bagi melaksanakan perintah dan tugas berkenaan.


“Seorang pegawai dan dua anggota polis memberi bantuan kepada pihak hospital dan menggunakan kekerasan secara minima seperti peruntukkan Seksyen 15(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.


“Lelaki itu berjaya diserahkan kepada pasukan perubatan untuk menjalani ujian Covid-19 dan seterusnya menjalani perintah kuarantin selama 14 hari di Pusat Kuarantin Hospital Labuan,” katanya.




45 views

©2020 by HyperlokalMY