• Pupa Kupa

COVID19 sudah meragut lapan nyawa rakyat Malaysia

Jumlah kes kematian berkaitan COVID-19 yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan KKM meningkat kepada lapan kes setakat jam 6.30 petang hari ini. Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kes kematian kelima membabitkan wanita berusia 79 tahun yang dimasukkan ke Borneo Medical Centre di Sarawak pada 16 Mac, setelah mengalami demam dan batuk selama lima hari. "Pada hari kedua, beliau mengalami kesukaran bernafas namun keluarga tidak mempersetujui wanita itu diberi bantuan alat pernafasan. "Beliau dibawa pulang oleh keluarga pada 17 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 18 Mac. Beliau mempunyai kontak dengan dua orang lagi yang disahkan positif iaitu anak lelaki dan anak perempuan beliau," katanya menerusi kenyataan. Dr Noor Hisham berkata, kes kematian keenam pula membabitkan anak perempuan kes kematian kelima. "Kes ini melibatkan wanita berumur 40 tahun yang dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 18 Mac setelah mengalami demam dan batuk sejak 7 Mac 2020. "Beliau disahkan positif COVID pada 19 Mac dan diberi bantuan pernafasan pada hari sama setelah didapati keadaan kesihatan semakin merosot. Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 1.20 tengah hari pada 21 Mac," katanya. Kes kematian ketujuh pula, melibatkan lelaki warga Malaysia berumur 57 tahun, mempunyai sejarah perjalanan ke Vietnam dan kontak dengan kes positif COVID-19 dari kluster tabligh. "Beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac 2020 setelah mengalami gejala demam, batuk dan sakit tekak selama seminggu. Keadaan kesihatan beliau kemudian merosot sehingga memerlukan bantuan pernafasan pada keesokan harinya dan disahkan meninggal dunia pada jam 3.22 petang pada 21 Mac. "Kes kematian kelapan pula melibatkan seorang lelaki warga Malaysia berusia 69 tahun daripada kluster tabligh. "Beliau telah dimasukkan ke Hospital Tumpat pada 16 Mac setelah mengalami gejala demam sejak 12 Mac 2020. Beliau telah dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu pada 18 Mac setelah didapati keadaan kesihatan merosot dan kemudian memerlukan bantuan alat pernafasan pada keesokan harinya. "Beliau disahkan meninggal dunia pada 21 Mac2020 pada jam 4 petang," katanya. ‎#COVID19 #KKM

35 views

©2020 by HyperlokalMY