• Hang Lekir

Darurat Jepun tak seketat Malaysia


Pada 17 April lalu, Perdana Menteri Jepun akhirnya membuat keputusan untuk mengisytiharkan darurat dilaksanakan di seluruh negara berkenaan. Ia membabitkan 47 wilayah berbanding hanya 7 wilayah pada awal pengisytiharan dibuat iaitu pada 10 April. Perlaksanaan darurat akibat wabak adalah perkara baru Jepun dan rakyatnya masih dalam proses menyesuaikan diri. Seperti yang kita sedia maklum, bulan April ialah musim bunga sakura dan ia suatu kemestian untuk berpiknik di bawah pohon sakura bersama keluarga dan kenalan rapat. Bilangan kes Covid-19 di Jepun meningkat setiap hari, namun masih ramai tidak mengambil serius dengan keluar bersiar-siar walaupun kebanyakan tempat melarang aktiviti piknik. Tidak semua syarikat persendirian membenarkan pekerja mereka bekerja dari rumah atau memberikan cuti bergaji. Seperti di Tokyo, walaupun di sana merekodkan kes tertinggi di Jepun sehingga ke hari ini, masih ramai yang menaiki kereta api ke tempat kerja masing-masing. Di Kyoto, terdapat pengurangan jumlah pengguna kereta api setelah diisytiharkan darurat. Sekolah diarahkan tutup sejak awal Mac. Tidak semua sekolah tutup serentak seperti di Malaysia. Masih ada pelajar yang harus pergi ke sekolah mereka walau hanya sehari bagi program sesi kemasukan ke tahun baru yang sepatutnya bermula pada awal April.


Di Jepun, mereka bakal menyambut ‘Golden Week’ yang akan bermula dari akhir April hingga ke minggu pertama Mei. Semalam Perdana Menteri Jepun membuat pengumuman agar sekolah terus ditutup sehingga 6 Mei bagi mengawal penyebaran wabak.

Orang awam dinasihatkan untuk tidak bercuti ke mana-mana pada musim ‘Golden Week’, tidak menyeberang wilayah tanpa urusan penting, mengurangkan aktiviti luar rumah dan juga menjaga etika jarak sewaktu berada di kawasan awam. Tiada sekatan dari pihak polis atau askar, tiada yang memeriksa suhu badan sebelum memasuki pasaraya. Yang sedang dilaksanakan ialah di setiap kaunter pembayaran, terdapat plastik untuk mengelakkan udara pernafasan terlepas di antara juruwang dan pembayar di kaunter serta arahan menjarakkan diri semasa sesi pembayaran. Semestinya terdapat kerisauan di antara masyarakat yang terjejas sumber pendapatan. Kerajaan Jepun bersetuju untuk memberi wang sara diri sebanyak 100,000 yen kepada setiap individu yang terjejas sumber pendapatan termasuk pekerja warga asing.


Oleh kerana banyak proses yang perlu dilakukan, borang akan dihantar ke setiap rumah dan pihak berwajib perlu menyemak setiap permohonan dan dijangkakan bayaran mungkin bakal diterima bermula bulan Mei secara berperingkat. Saya berada di rumah sejak 12 April lalu dan tempat saya bekerja meminta semua staf untuk duduk di rumah sehingga 4 Mei ini. Oleh kerana kami tiada sistem kerja secara atas talian, saya tidak mempunyai kerja untuk dilakukan sepanjang cuti ini.


Saya melakukan pelbagai aktiviti bagi memanfaatkan masa yang ada antaranya membaca buku, mengasah pertuturan dan pemahaman Bahasa Jepun, mencuba resipi baru, menonton Youtube, berlatih keyboard dan ukulele, serta menghubungi keluarga dan rakan-rakan menggunakan applikasi audio dan video. Sehingga bila kami bakal terus berada dalam keadaan darurat dan bagaimana kami boleh meneruskan kelangsungan hidup, ianya kekal misteri dan hanya boleh berharap semua pihak bekerjasama dalam menghentikan penyebaran COVID-19.


Coretan ini dikongsikan Farah Saleh yang bekerja sebagai Guru Bahasa Inggeris di Kyoto, Jepun.

6,598 views

©2020 by HyperlokalMY