• Hang Lekir

Disangka mabuk, kereta wanita dibakar



Akibat disangka mabuk, kereta seorang wanita dibakar sekumpulan individu selepas kemalangan di Jalan Ara Kuda di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, malam tadi.


Sebelum itu, kereta dipandu wanita berusia 56 tahun terbabit memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal dinaiki pasangan remaja kembar.


Kejadian jam 9.50 malam itu menyebabkan Muhd Asri Roslan,14, dan Muhd Azri yang menunggang motosikal berasingan, patah kaki kanan, cedera di tangan dan muka.


Susulan kejadian itu, kereta terbabit dibakar oleh sekumpulan individu yang berang kerana mendakwa wanita berkenaan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kemalangan.


Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata hasil pemeriksaan dan ujian saringan awal pernafasan terhadap pemandu itu didapati negatif dan tidak berada di bawah pengaruh alkohol seperti didakwa.



Beliau berkata, pelaku yang membakar kereta wanita itu sudah dikenal pasti dan tangkapan akan dibuat.


Beliau juga menasihati orang awam agar tidak mengambil tindakan terburu-buru hingga melanggar undang-undang, selain akan menyiasat individu yang menularkan kemalangan itu dengan fakta tidak tepat.


Sebelum kejadian, wanita terbabit dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kepala Batas selepas selesai menghantar sayur.


Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala perbuatan khianat disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.


Sumber: Harian Metro


FOTO Ihsan Polis / Penang Kini

442 views

©2020 by HyperlokalMY