• Hang Lekir

Dulu 'sharpshooter' kini tukang kayu Kawood

Dibuang kerja kerana syarikat menutup operasi, pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh dipanggil sebagai ‘resepi untuk bencana’, bagaimanapun di tangan tiga sahabat ini, ia bertukar menjadi lubuk rezeki yang tidak disangka-sangka.


Berbekalkan kemahiran, usaha keras dan semangat setia kawan, lahirlah Kawood, perusahaan pembikinan rak kayu ‘pinewood’ hasil tangan tiga bekas jurugambar syarikat akhbar berbahasa Melayu.


Kawood sehingga semalam, genap 14 hari selepas permulaannya sudah menyiapkan dan menghantar hampir 200 tempahan rak ‘pinewood’ rekaan mereka.


Mengimbas kembali, Pengasas Kawood, Mohamad Hafiz Johari, berkata seni pertukangan ‘pinewood’ tiga tahun lepas hanyalah satu hobi hujung minggu.



Katanya selepas kehilangan kerja, dia melakukan pelbagai kerja termasuk e-hailing dan ‘personal shopper’.


“Datang pula COVID-19 dan PKP, lagi la sukar untuk saya, bagaimanapun, hikmahnya PKP itu bila orang mula ada hobi tanam pokok dalam rumah, termasuklah isteri saya, dan siapa sangka permintaannya untuk saya buatkan satu rak letak pasu membuka jalan untuk Kawood.


“Saya buat dua rak, satu lagi saya beri pada rakan saya, Razak (Abdul Razak Abdul Latif) disebabkan dia pun minat tanam pokok, saya kemudian ‘upload’ rak itu di Instagram.



“Tanpa disangka, selepas melihat gambar rak itu, seorang rakan meminta saya buat dua rak untuknya, dan bila siap dia juga ‘upload’ di Instagramnya, kemudian saya menerima 20 tempahan rak,” katanya.


Melihatkan kepada sambutan rak rekaannya, Hafiz berkata dia memerlukan bengkel untuk menyiapkan tempahan.


“Saya hubungi Razak, bercerita mengenai tempahan dan kami sepakat menjadikan ia sebagai perniagaan, kemudian kami sewa bengkel, buka perniagaan dan memilih nama perniagaan.


“Kawood itu adalah gabungan perkataan kawan dan kayu (wood) sebab itulah dua perkara yang memulakannya, seorang lagi rakan yang juga rakan sejawat di syarikat lama, Nooradzrene Mohd Noor juga menyertai kami maka lengkaplah Kawood ketika itu,” katanya.


Kawood kini memiliki dua orang pekerja dan ada rancangan untuk membuka bengkel yang kedua.



“Sebab setia kawan dan sokongan rakan-rakan, Kawood dibuka dan dengan sebab yang sama, kami ajak dua rakan lain yang masih tidak ada kerja untuk bekerja bersama, dan itulah rancangannya untuk bengkel kedua nanti.


“Rancangan kami untuk buat rekaan rak yang boleh bantu pelanggan menyusun barangan dalam rumah.


“Boleh ikuti perkembangan Kawood di Facebook Kawood dan Instagram, Kawoodkl, boleh hubungi kami menerusi kedua-dua platform,” katanya.

169 views

©2020 by HyperlokalMY