• Hang Lekir

Eco Shop kini boleh didapati di Shopee


Golongan wanita kini boleh mengukir senyuman dan tidak perlu bimbang untuk membeli belah di Eco Shop atau lebih popular dengan gelaran Kedai RM2 (hakikatnya sudah RM2.10) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKBP). Mereka tidak perlu lagi mendengar bebelan suami yang terpaksa menunggu lama di dalam kereta sambil menjaga anak semata-mata untuk membeli barangan di dalam Eco Shop kerana semuanya kini di hujung jari. Menerusi semakan di Shopee, Eco Shop mula menjual produk mereka di platform jualan atas talian yang popular berkenaan dengan masih mengekalkan harga RM2.10 bagi setiap barangan. Antara produk yang dijual adalah alas kaki; botol air; pencuci pinggan; makanan kucing; penyangkut baju; pokok hiasan; penghalau lipas serta pelbagai lagi. Penghantaran semua produk ini adalah dari Segamat, Johor dengan kos penghantaran bermula RM0 hingga RM0.91. Hyperlokal kurang pasti sejak bila Eco Shop mula menjual barangan mereka menerusi platform berkenaan, namun berdasarkan semakan ia masih baru kerana tidak banyak barangan yang terjual melainkan pelitup muka iaitu sebulan yang lalu.


Malah menerusi perkongsian pengguna Facebook, Hanis Fauzi pada 1 Mei lalu ramai golongan wanita tidak mengetahui mengenai jualan Eco Shop di Shopee. Logiknya mudah, apabila sesuatu yang disukai golongan wanita masih belum diketahui ramai ini bermakna ia adalah baru.


Ruangan komen Hanis Fauzi dipenuhi ucapan terima kasih kerana memberi maklumat, ada juga teruja dan tidak sabar untuk membeli-belah. Selain terdapat juga komen yang bimbang mereka terlebih membeli belah. Setakat pagi ini, status wanita berkenaan dikongsi lebih 5,000 mendapat tanda reaksi lebih 500.

50 views

©2020 by HyperlokalMY