• Pupa Kupa

Empat aktiviti bulan Ramadan yang akan dirindukan



Bulan Ramadan yang menjelang tiba adalah bulan yang paling dinanti bagi keseluruhan umat Islam di muka bumi ini sebelum meyambut kehadiran Syawal.


Apa tidaknya, di bulan penuh berkah inilah 'hadiah' daripada maha pencipta buat hambanya berlumba-lumba membuat kebaikkan dengan memperoleh balasan pahala berlipat ganda.


Namun, kewujudan wabak corona atau COVID-19 yang sedang melanda dunia hari ini pasti memberi kesan terhadap aktiviti sepanjang bulan Ramadan sehinggalah musim perayaan Aidilfitri tahun ini.


Di sini, Hyperlokal membawakan empat aktiviti yang pasti akan dirindukan setiap umat Islam di negara berikutan wabak ini yang mengakibatkan kerajaan terpaksa menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap rakyat Malaysia.



Pertama, sudah pastinya golongan Adam dan Hawa tidak dapat berhimpun di bawah bumbung masjid untuk menunaikan sembahyang Tarawih secara berjemaah pada malam pertama Ramadan.


Seperti kita sedia maklum, awal Ramadan adalah saat di mana kita dapat melihat seluruh masjid di negara dipenuhi dengan umat Islam yang tidak mahu ketinggalan menunaikan sembahyang Tarawih pada malam pertama bulan puasa.


Malah, kehadiran umat Islam ke masjid pada malam pertama Ramadan kebiasaannya mengumpulkan lebih ramai jemaah daripada sembahyang Jumaat.



Kedua, pada sebelah petangnya, aktiviti utama umat Islam di negara ini adalah dengan membanjiri seluruh pelusuk bazaar Ramadan bagi membeli juadah untuk berbuka.


Bagaimanapun, aktiviti ini pasti dirindui berikutan kebanjiran orang ramai di sesuatu tempat pastinya mengundang risiko lebih besar lebih-lebih lagi dengan tiadanya social distancing untuk mengelakkan jangkitan wabak COVID-19 ini.


Seperti yang dilaporkan media, hampir keseluruhan negeri di Malaysia terpaksa membatalkan bazaar Ramadan untuk tahun ini bagi mengekang penularan wabak membunuh ini.



Ketiga, bagi kanak-kanak, remaja dan belia pastinya golongan ini akam terkesan dengan penguatkuasaan PKP kerana boleh dikatakan bermain mercun sudah menjadi aktiviti rutin ketika bulan Ramadan.


Bagaimanapun, dentuman meriam dan mercun pasti dirindukan golongan ini kerana tidak dapat keluar berkumpul bersama rakan-rakan di waktu malam.



Keempat, beduk sahur. Di sesetengah kampung di negara masih lagi mengamalkan beduk sahur di mana sekumpulan anak muda bergedang mengelilingi kampung untuk mengejutkan masyarakat menandakan waktu bersahur.


Bunyi gendang yang membingitkan dengsn jeritan anak muda ini pasti tidak dapat didengari sepanjang Ramadan ini kerana penguatkuasaan PKP.


Jika perkembangan semasa wabak COVID-19 ini masih belum mencapai tahap memuaskan sudah pasti PKP akan diteruskan dan mungkin menyebabkan perayaan Aidilfitri disambut secara sederhana tanpa kehadiran ahli keluarga, sanak saudara mahu pun jiran tetangga.


Justeru, Hyperlokal mengajak masyarakat supaya menyokong penuh usaha kerajaan membendung wabak ini sekali gus memberikan kita semua peluang untuk menjalani kehidupan seperti sedia kala.

64 views

©2020 by HyperlokalMY