• Pupa Kupa

Gadis berhijab yang menumbangkan empat penggusti lelaki




Nor 'Phoenix’ Diana, penggusti profesional Malaysia yang berhijab, tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia’ tahunan kelima.


Senarai itu menampilkan 300 usahawan muda, pemimpin dan pencetus perubahan di seluruh Asia dan semuanya berumur bawah 30 tahun.




Gadis berusia 20 tahun itu menjadi wanita pertama memenangi kejohanan Gusti Pro Malaysia Wrestlecon (MyPW) Julai lalu, terpilih di bawah kategori Sukan dan Hiburan.


Memandangkan nama Nor Diana yang pernah menumbangkan empat ahli gusti lelaki negara pada kejohanan MyPW semakin menjadi sebutan, Hyperlokal menyingkap sedikit mengenai gadis ini.


Berdasarkan laporan Bernama tahun lalu, gadis mempunyai berat 43 kilogram dan ketinggian 155 sentimeter itu mula 'jatuh cinta' dalam sukan gusti selepas menonton rancangan gusti terkemuka Amerika Syarikat, WWE bersama adik-beradiknya pada usia 14 tahun.




Pemilik nama sebenar Syaradeeba Khamarulzaman berkata minat mendalam terhadap sukan gusti mendorongnya menyertai uji bakat pencarian atlet gusti pada usia 16 tahun sehingga diberi peluang jurulatihnya, Ayez Shaukat Fonseka menyertai pertarungan gusti pada Februari 2017.


Sokongan ibu bapa, jelas gadis berusia 19 tahun itu, turut menjadi pendorong untuk mencuba nasib dalam sukan gusti walaupun pada mulanya mereka agak risau, apa lagi sukan ini dianggap ganas.


Anak keempat daripada lima beradik itu menyertai perlawanan gusti pertama pada Februari 2017 menentang penggusti tempatan, Scarlett Lee, namun tewas sebelum bangkit mencipta kejayaan memenangi tali pinggang Pro Wrestling-The Wrestleconi, awal Julai lalu.




"Bagi saya, gusti ini lebih kepada seni persembahan aksi lagak ngeri dipersembahkan secara langsung kepada penonton yang hadir menyaksikan perlawanan gusti berkenaan," katanya.


Nor Diana terkenal dengan beberapa gerakan penyudah seperti 'Tilt-a-Whirl Cutter', 'Crossbody' dan 'Suicide Dive'.


Melihat aksinya di gelanggang, mungkin ramai tidak menyangka gadis berpewatakan ayu dan berkaca mata ini rupanya mempunya perwatakan berbeza apabila berada di gelanggang.


Dia bekerja sebagai pembantu klinik di sebuah hospital di Lembah Klang ketika ini.




Mengenai gelaran 'Phoenix', Nor Diana mengambil inspirasi daripada burung Phoenix yang digambarkan dalam masyarakat moden sebagai satu kebangkitan selepas kegagalan dan mampu menempuhi pelbagai dugaan mendatang.


FOTO: IG nordianapw

54 views

©2020 by HyperlokalMY