• Hang Lekir

Hilang pendapatan kerana PKP, ini cara vokalis Def Gab C sara keluarga

Masihkah anda ingat dengan penyanyi Asheed yang pernah popular dengan lagu Ibu Kota Cinta, Merah dan Cinta Sakti sekitar 20 tahun lalu bersama Def Gab C. Pemilik nama sebenar Mohd Ashid Ahmad itu sepatutnya melancarkan single terbaru bertajuk Bapak Tak Marah, bulan lalu.


Bagaimanapun penampilan lagu ciptaan bersama Kid Search, Mat Nor Hendrik dan Syarul itu terpaksa ditangguh susulan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan COVID-19.


Kini berusia 47 tahun, Asheed mengakui hilang pendapatan sejak tiga bulan lalu kerana banyak undangan nyanyian terpaksa dibatalkan, selain perancangan kemunculan semula Def Gab C tertangguh. Demi menyara kehidupan keluarga, penyanyi yang pernah tampil dengan imej rambut panjang berwarna-warni itu kini menjual kebaya kanak-kanak bermula awal Ramadan lalu, lapor Harian Metro.


Dia bersama kakak iparnya, Hawa Ramli kini aktif menjual baju kebaya untuk kanak-kanak berusia satu hingga enam tahun. "Kami bukan terlalu ingin mencari keuntungan tetapi sekadar menampung perbelanjaan menjelang Aidilfitri," luahnya.

Selain berniaga, masa terluang di rumah turut diisi dengan belajar memasak dan kini sudah boleh menyediakan hidangan rendang.


Foto: FB Asheed Def Gab C

73 views

©2020 by HyperlokalMY