• Hang Lekir

#IndonesiaTerserah jadi bualan warganet Indonesia


Di saat jumlah keseluruhan warga bumi yang dijangkiti wabak COVID-19 menginjak ke angka lima juta orang, Malaysia menghampiri sasaran satu angka pesakit baru menjelang Jun depan.


Bagaimanapun, lain pula senario yang dihadapi oleh negara tetangga iaitu Indonesia apabila segelintir warganet dan pasukan barisan hadapan mereka melancarkan #IndonesiaTerserah sejak beberapa hari lalu.


Berdasarkan laporan media tempatan, #IndonesiaTerserah dilancarkan sebagai tanda protes pasukan barisan hadapan dan sebilangan rakyatnya terhadap polisi kerajaan yang didakwa berubah-ubah serta sikap rakyatnya yang memandang ringan terhadap bahana pandemik ini.


Seorang media influencer yang juga doktor iaitu Tirta Mandira Hudhi antara individu yang menyokong protes berkenaan apabila memuatnaik fotonya memegang sekeping kertas A4 bertulis 'Indonesia??? Terserah' 'Suka-suka kalian saja'. Foto itu dimuatnaik enam hari lalu di laman Instagram miliknya iaitu @dr.tirta yang sehingga kini memiliki 1.6 juta pengikut.



Pada kapsyennya, beliau meluahkan rasa kecewa terhadap warga Indonesia khususnya yang tidak mempedulikan saranan penjarakan sosial dengan merujuk kepada dua situasi iaitu di Sarinah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta.


Insiden di Sarinah, Jakarta Pusat, beberapa hari lalu menyaksikan himpunan ratusan rakyat Indonesia di depan sebuah restoran McDonald pada hari terakhir pengoperasiannya.


Insiden kedua adalah apabila warganya bersesak di Soekarno Hatta Terminal 2 selepas Kementerian Pengangkutannya membuka semula perkihmatan pengangkutan udara, darat dan air.


Tindakan itu melanggar sekatan sosial secara besar-besaran dan boleh menyebabkan penyebaran wabak COVID-19.


Namun lain pula nada seorang lagi petugas barisan depan iaitu @debrynadewi yang memuatnaik fotonya di laman Instagram dengan kapsyen 'Terserah TIDAK berarti menyerah. Sekian. #indonesiaterserah #indonesiatidakmenyerah'.



Untuk rekod, pada 18 Mei lalu Indonesia mencatatkan kes sebanyak 17,514 dengan 1,148 kematian.


Walaupun, Indonesia dan Malaysia kerap kali bertelagah dalam sesuatu isu terutamanya membabitkan bola sepak, namun ia bukan penghalang untuk kita mendoakan supaya pasukan barisan hadapan mereka terus kuat dan mengharapkan rakyatnya mendukung perjuangan melawan COVID-19.


#MalaysiaxIndonesiaTeruskanBerjuang #KitaPastiMenang

409 views

©2020 by HyperlokalMY