• Hang Lekir

Ini bukanlah soal wang, tetapi...

“Perbualan saya menerusi ‘help center’ ditamatkan dengan biadab beberapa kali, saya dijanjikan panggilan telefon oleh pengurus namun langsung tiada selepas dua hari menunggu. “Yang amat dikesali, pertanyaan demi pertanyaan saya dibalas dengan jawapan ‘template’ yang tiada kena mengena dengan soalan. Pengalaman menerima layanan buruk itu dikongsi oleh seorang pelanggan sebuah syarikat perkhidmatan penghantaran makanan dalam talian kepada hyperlokal.my semalam. Tegasnya, ia bukanlah isu ‘refund’ semata-mata, namun ia lebih kepada tahap perkhidmatan pelanggan yang amat teruk daripada sebuah syarikat yang boleh dianggap sebagai pemain utama industri. Untuk hyperlokal.my, perkongsian ini perlu dijadikan sebagai teladan untuk mereka yang pernah berdepan situasi sama supaya tidak mengalah dengan kerenah pihak penyedia perkhidmatan. Pelanggan berhak kepada perkhidmatan dan layanan profesional dan terbaik. “Saya memesan dua minuman untuk berbuka puasa, Khamis lalu, kira-kira pada jam 6 petang, dan oleh kerana saya sendiri terbabit industri F&B dan logistik, saya faham jika ia mengambil masa untuk minuman itu sampai kepada saya. “Saya kemudian menerima pesanan ringkas daripada ‘rider’ mengatakan dia mahu berbuka puasa dahulu, pada jam 7.10 malam, saya tidak kisah. “Kemudian saya menerima satu panggilan dengan satu deringan singkat, dan juga makluman pesanan saya sudah dihantar, sedangkan saya masih menunggu minuman saya. “Saya kemudian menghubungi ‘help center’ untuk mendapatkan ‘refund’ dan ketika itulah bermula episod buruk yang berpanjangan tanpa kesudahan,” katanya. Jelasnya, perbualan untuk mendapatkan pemulangan semula wang itu ditamatkan beberapa kali, sehingga memaksanya meminta untuk bercakap secara terus dengan pengurus yang berkenaan. “Saya dimaklumkan oleh kerana pesanan yang menunjukkan ia sudah dihantar, proses ‘refund’ tidak boleh dilakukan, padahal saya langsung tidak terima minuman saya. “Perbualan itu kemudian ditamatkan, saya cuba hubungi buat kali kedua dan masih menerima jawapan balas ‘template’ yang kemudian memaksa saya meminta untuk bercakap dengan pengurus. “Saya dijanjikan satu panggilan telefon oleh pengurus dalam tempoh 30 minit namun sehingga jam 2 pagi tiada panggilan dibuat,” katanya. Selepas dua hari, hyperlokal.my dimaklumkan perkara yang sama berulang, tiada panggilan oleh pengurus dan tiada sebarang pemulangan semula wang dibuat. Sehinggalah semalam, pelanggan itu menerima makluman dari ‘help center’ mengatakan aduan itu sudah selesai. “Saya buka e-mel dari mereka, dan saya dimaklumkan pengurus tidak membuat panggilan kerana masa yang tidak sesuai, saya balas dengan memberi waktu untuk panggilan dibuat. “Dan seperti sudah dijangka, tiada panggilan diterima dan tambah menyakitkan hati saya satu e-mel dihantar mengatakan nombor telefon saya berdepan masalah gangguan rangkaian. “Saya amat kecewa, ini adalah perkhidmatan pelanggan yang amat buruk, saya mahukan penyelesaian, ia tidak boleh dibiarkan, saya umpama dibuli, hak saya perlu dipertahankan,” ujarnya.

134 views

©2020 by HyperlokalMY