• Hang Lekir

Ini mungkin 5 perbezaan raya dulu dengan raya PKP


Sedar tak sedar sudah dua minggu kita menjalani ibadat puasa di dalam tempoh Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Walaupun pada mulanya tak boleh keluar rumah, setidak-tidaknya dengan kelonggaran diberikan kerajaan menerusi PKPB, dapatlah juga orang ramai keluar bekerja, mencari rezeki serta membuat sedikit-sebanyak persiapan Syawal. Apa yang pasti, Aidilfitri kali ini pasti berbeza kerana kita masih berada dalam fasa melawan wabak Covid-19, malah kerajaan juga telah menentapkan untuk tidak membenarkan pergerakan balik kampung dan ziarah menziarahi. Sudah tentu banyak perbezaan raya kali dengan raya yang biasa kita raikan saban tahun. Justeru, Hyperlokal menyenaraikan lima kemungkinan perbezaan raya sebelum ini dengan raya PKP 2020. 1. Duit raya vs Face mask

- kalau dulu kanak-kanak datang beraya dengan harapan mendapat duit raya, mungkin kali ini tradisi itu digantikan dengan pemberian pelitup muka (face mask) kepada anak-anak jiran, tetapi masih menggunakan sampul duit raya. 2. Balik kampung vs Tak boleh rentas negeri

- Dulu beberapa menjelang 1 Syawal, ibu kota kosong kerana orang ramai pulang ke kampung. Semua lebuh raya sesak dengan kenderaan, namun kali ini mungkin polis akan membuat sekatan jalan raya di semua laluan keluar dari Lembah Klang. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri telah menyebut dalam sidang medianya pada 1 Mei lalu: "Maaf, balik kampung untuk beraya tak dibenarkan." 3. Biskut tunjuk vs Biskut buatan sendiri

- Suatu ketika dulu orang kita buat kuih atau biskut raya sendiri, macam-macam biskut tradisi penuh warna-warni dibakar sendiri sesama ahli keluarga. Namun tradisi itu kian lenyap sejak 10 atau 15 tahun lalu kerana orang ramai lebih mudah membeli, tunjuk saja apa jenis kuih yang kita mahu, tak perlu susah payah nak uli, acu dan bakar bagai. Kini di musim PKP, nampaknya ramai yang kembali membuat sendiri biskut raya sebagai aktiti mengisi masa lapang. 4. Ziarah Syawal vs Stay at home

- Sebelum ini selepas saja solat sunat Aidilfitri, di kampung-kampung khususnya meriah dengan aktiviti kunjung-mengunjung sama ada ke rumah sanak saudara mahupun jiran tetangga. Kalau masyarakat Jawa masa inilah untuk mereka melakukan baraan. Iaitu ziarah dari rumah ke rumah dalam satu kampung. Tetapi kali ini hanya duduk di rumah. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dah beritahu tak boleh ziarah raya, duduk saja di rumah pakai kain pelikat. 5. Kad raya vs WhatsApp

- tradisi ucapan hari raya mungkin tidak banyak berubah. Kalau sebelum ini ucapan dihantar melalui WhatsApp, rasanya tahun ini masih menggunakan cara sama. Mana ada orang hantar kad raya lagi, bertahun-tahun dah tradisi kad rasa pupus. Selain WhatsApp, ramai juga ucap Selamat Hari Raya guna Facebook. Post gambar sendiri dengan caption Selamat Hari Raya, lepas tu tag semua friend list, settle!

96 views

©2020 by HyperlokalMY