• Pupa Kupa

Isi waktu PKP dengan beri efek khas pada koleksi figura




Seorang pengumpul koleksi figura memilih pendekatan memberikan kesan khas pada setiap koleksi peribadinya sebagai aktiviti ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Shamsaimi Ezil, 40, mengakui tempoh PKP yang sudah memasuki sebulan ini membataskan pergerakannya yang bekerja sebagai jurufoto di sebuah universiti di Kedah dan perlu mencari aktiviti bagi menghilangkan rasa bosan di rumah.


Mengulas mengenai hobi barunya itu, Shamsaimi berkata, kesan khas seperti kesan tembakan, torehan serta calar memberi lebih kepuasan kerana koleksi itu kelihatan lebih 'hidup' berbanding asal yang dilihat seperti permainan kanak-kanak.




"Setiap pengubahsuaian yang saya lakukan bukan dibuat secara suka-suka atau mengikut logik akal sebaliknya melalui rujukan di buku Star Wars serta di dalam filemnya sendiri.


"Mungkin ramai beranggapan ia seolah-olah merosakkan koleksi sendiri kerana perlu buat lekukan, cat dan calar yang pastinya sukar untuk dikembalikan kepada bentuk yang asal tetapi bagi saya adalah kepuasan," katanya.




Beliau menggunakan peralatan khas seperti alat solekan permainan (seperti alat solek wanita) yang dibeli atas talian berharga antara RM40 hingga lebih RM100 (bergantung pada jenama) dan juga cat.


Katanya, daripada lebih 1,000 koleksi peribadinya hanya 10 peratus sahaja ketika ini diberikan kesan khas.




"Saya baru berjinak-jinak membuat kesan khas ini dan masa untuk setiap kali membuat kesan khas ini bergantung pada jenis koleksi, ada yang mengambil masa beberapa jam sahaja tetapi jika bersaiz kecil dan strukturnya rumit masa yang diambil mungkin lama," katanya.

126 views

©2020 by HyperlokalMY