• Hang Lekir

Jakel nafi curi bekalan elektrik


Heboh di media sosial hari ini apabila Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melakukan operasi meroboh struktur khemah tanpa kebenaran milik syarikat Jakel di Seksyen 7, Shah Alam.


Selain itu, apa yang menjadi perbualan netizen adalah apabila terdapat dakwaan mengatakan syarikat itu menggunakan bekalan elektrik daripada pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) tanpa kebenaran.


Tampil menafikan perkara itu Pengarah Jakel Shah Alam, Mohamed Izani Mohamed Jakel berkata, pihaknya mempunyai meter yang sah dan menafikan dakwaan berlaku kecurian elektrik. "Pihak Jakel Shah Alam mempunyai meter yang sah dan kita bayar bil kepada pihak TNB setiap bulan tanpa gagal, saya percaya berlaku salah faham berkaitan perkara ini," katanya. Berhubung khemah didirikan yang didakwa tidak mempunyai kebenaran pihak berkuasa, Mohamed Izani menjelaskan khemah itu bukan milik pihaknya. "Khemah tersebut milik sebuah syarikat yang berpangkalan di Johor Bahru, permit untuk menyambung tak dapat ditambah pula dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi pihak kontraktor tak sempat untuk runtuhkannya," katanya. Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang mendakwa struktur elektrik tanpa kebenaran di lokasi itu menggunapakai pencawang elektrik TNB tanpa kebenaran agensi tersebut. Bagaimanapun kenyataan yang dimuat naik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Facebook rasminya diubahsuai beberapa jam kemudian. Dalam pada itu Jakel turut menafikan struktur elektrik dibina tidak mengikut spesifikasi dan boleh mengundang bahaya. Katanya, struktur elektrik berkenaan dibuat mengikut spesifikasi dibenarkan. "Struktur berkenaan dibina ikut spesifikasi dan dibenarkan beroperasi oleh TNB," katanya. Terdahulu, MBSA menjalankan operasi perobohan struktur khemah tanpa kebenaran milik syarikat Jakel di Seksyen 7 hari ini. Menurutnya kenyataan daripada MBSA, operasi tersebut dilakukan oleh kakitangan pelbagai Jabatan MBSA. "MBSA telah mendapati struktur elektrik dibina tidak mengikut spesifikasi dan boleh mengundang bahaya," katanya.


Sumber Sinar Harian

1,373 views

©2020 by HyperlokalMY