• Hang Lekir

Kampung Gobek pernah 'diintai' makhluk asing


Kampung Gobek, terletak di jajahan Tanah Merah di Kelantan, dihuni lebih 1,000 penduduk yang kebanyakannya pekebun dan petani.


Ada sesuatu istimewa dengan kampung ini yang tidak terdapat di kampung lain di Kelantan hingga pernah menggemparkan negara suatu ketika dulu.


Perkampungan UFO! Mungkin itu nama jolokan sesuai bagi Kampung Gobek kerana objek terbang menyerupai UFO dilaporkan pernah mendarat di situ, lebih 20 tahun lalu.


Dalam kejadian misteri sekitar jam 3 pagi pada 3 Mac 2000, penduduk mendakwa objek terang seakan-akan UFO mendarat di sebuah kolam berpaya di kampung itu sehingga membentuk alur air berbentuk Y.



Keadaan menjadi semakin misteri apabila penduduk Kampung Gual Ipoh, tidak jauh dari Kampung Gobek pula mendakwa melihat makhluk asing bersisik dan berekor di kampung mereka.


Situasi aneh yang berlaku di dua kampung itu tersebar, tiba-tiba nama Kampung Gobek terkenal dan tercatat dalam sejarah antara lokasi penemuan UFO yang pernah dilaporkan di Malaysia.


Sehingga kini, misteri itu belum terjawab meskipun ada pihak mengatakan ia cerita rekaan atau cakap-cakap kedai kopi yang sengaja diperbesarkan.


Berdasarkan laporan berita, pihak berkuasa memaklumkan makhluk asing yang didakwa itu sebenarnya seorang pesakit mental yang berkeliaran di kampung berkenaan.


Jabatan Pengairan dan Saliran pula memberitahu alur berbentuk Y di Kampung Gobek sebenarnya bekas kawasan sawah padi.



Hujan lebat beberapa hari sebelum itu menyebabkan ia ditakungi air dan membentuk kolam yang kemudian didakwa sebagai tempat pendaratan UFO.


Bagaimana pula dakwaan penduduk mengenai cahaya terang yang mengiringi objek terbang seakan-akan UFO?


Tiada sebarang penjelasan diberikan berhubung dakwaan itu atau mungkin ia juga cerita rekaan semata-mata.


Apa pun, kisah UFO ini pernah mempopularkan Kampung Gobek.


Sumber Berita Harian, Harian Metro, mywanfai.wordpress.com

100 views

©2020 by HyperlokalMY