• Hang Lekir

Kelab Inggeris kembali ke padang latihan

Kelab bola sepak Liga Inggeris bersetuju dengan peringkat pertama protokol kembali memulakan latihan yang membenarkan pemain berlatih dalan kumpulan kecil, bermula Selasa. Perkara itu dipersetujui secara undian menerusi mesyuarat ‘Project Restart’, hari ini. Menurut laporan BBC Sport, pemain dikehendaki mematuhi peraturan penjarakan sosial, dan hanya boleh menjalani latihan tanpa membabitkan sentuhan. Peringkat pertama itu dilaporkan dipersetujui selepas proses rundingan di antara pemain, pengurus, doktor kelab, pakar berkaitan dan kerajaan. Menerusi satu kenyataan, Liga Perdana Inggeris turut menyebut protokol pemeriksaan kesihatan yang ketat akan dapat memastikan semua individu terbabit dapat kembali berlatih dalam persekitaran yang paling selamat. “Kesihatan dan kesejahteraan semua pihak adalah keutamaan Liga Perdana Inggeris, dan untuk kembali semula ke padang latihan dengan selamat adalah satu langkah yang tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa. “Konsultasi penuh akan diteruskan dengan pemain, pengurus, kelab, persatuan pemain dan persatuan pengurus liga untuk membentuk protokol latihan penuh,” katanya. Adakah dengan keputusan itu memungkinkan Liga Perdana Inggeris kembali membuka saingannya? Aksi saingan bola sepak dunia kembali minggu lalu selepas Jerman membuat keputusan meneruskan saingan Bundesliga dengan mengadakan perlawanan tanpa penonton Sabtu lalu. Bagaimana pula aksi Liga Super Malaysia? Walaupun negara dalam peringkat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), masih belum ada tanda-tanda positif saingan liga tempatan akan dimulakan dalam tempoh terdekat.

23 views

©2020 by HyperlokalMY