• Hang Lekir

Keputusan kajian fasa pertama vaksin COVID-19 memberangsangkan

Syarikat biotek, Moderna melaporkan memperoleh keputusan memberangsangkan dalam kajian fasa pertama penggunaan vaksin eksperimental COVID-19 yang diuji ke atas sukarelawan manusia pertengahan Mac lalu. Kajian yang diketuai oleh Institut Alahan dan Jangkitan Penyakit Kebangsaan (NIAID) di Institut Kesihatan Kebangsaan itu membabitkan 45 individu sihat yang menerima satu daripada tiga dos berbeza vaksin berkenaan. Menurut laporan Time, Moderna memaklumkan ada petunjuk awal yang memberangsangkan apabila suntikan berkenaan membentuk antibodi menentang virus COVID-19, SARS-CoV-2 menyerupai atau lebih tinggi yang pernah disaksikan dalam plasma individu sembuh daripada jangkitan. Moderna berkata, walaupun fokus kajian fasa pertama itu bukanlah untuk mengukur keberkesanan vaksin terbabit, lebih kepada aspek keselamatannya, namun petunjuk keberkesanan daripada ujian yang dijalankan amat menggalakkan. Tahap antibodi sukarelawan menunjukkan vaksin itu dapat membangkitkan dan merangsang respon antibodi badan untuk melawan SARS-CoV-2. Data juga menunjukkan penggunaan dos yang tinggi membolehkan maklum balas imunisasi yang lebih kuat. Syarikat berpangkalan di Massachusetts, Amerika Syarikat itu juga melaporkan dalam analisis awal antibodi daripada lapan sukarelawan menunjukkan ia berjaya meneutralkan virus dalam makmal. “Apabila kami melihat data ini, kami agak teruja,” kata Presiden Moderna, Dr Stephen Hoge. “Ia menepati apa yang kami harapkan, apa yang ditunjukkan menerusi kajian ini vaksin berfungsi baik dengan sesiapa sahaja sebelum memasuki kajian peringkat ketiga. “Ia berfungsi dengan membentuk tindakan neutralisasi oleh antibodi yang berkualiti, realitinya kami memiliki produk dan tindakbalas imun yang berpotensi,” katanya. Dalam peringkat pertama kajian, sukarelawan terdiri daripada individu sihat berusia 18 hingga 55 tahun. Mereka yang dikategorikan sebagai dos rendah dan sederhana menerima dua dos selang sebulan bagi menggalakkan sistem imunisasi bertindak balas semaksimum mungkin.

104 views

©2020 by HyperlokalMY