• Hang Lekir

Kerja dari rumah normal baharu dunia korporat

Twitter akan membenarkan sebahagian kakitangannya untuk terus bekerja dari rumah untuk selama-lamanya jika itu yang dikehendaki. Keputusan itu menunjukkan langkah yang dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 itu bakal menjadi normal baharu syarikat korporat di Amerika Syarikat. Menurut laporan CNN Business, Twitter tidak memaklumkan secara terperinci jawatan atau bahagian yang terbabit dengan keputusan itu. Bagaimanapun, jurucakap kepada syarikat menjelaskan keputusan itu dibuat berdasarkan petunjuk positif daripada pengalaman bekerja dari rumah beberapa bulan lalu. “Jika warga kerja kami berada dalam peranan dan situasi yang membolehkan mereka bekerja dari rumah, dan jika mereka mahu meneruskannya, pengurusan tiada masalah untuk membenarkannya,” kata Naib Presiden Twitter, Jennifer Christie dalam kenyataannya kepada CNN Business.


Di Malaysia, antara syarikat yang menggalakkan kakitangan bekerja dari rumah adalah Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB). Menerusi ciapan di laman Twitter miliknya, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PNB, Jalil Rasheed berkata bekerja dari rumah adalah opsyen kekal, bukan hanya bagi tempoh sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sahaja. Malah, jelas beliau kebanyakan mesyuarat PNB dijalankan secara hibrid maya dan langsung.


“Kami dapat menangani semua kekangan bekerja dengan baik sejak dua bulan lepas secara maya. Tiada halangan dalam kami mengamalkan fleksibiliti ini secara kekal. "Kami telah mencapai kemajuan besar dalam menggunakan teknologi, mesyuarat secara maya dan tandatangan digital, jadi momentum ini harus diteruskan walaupun warga kerja kembali semula ke pejabat," kata Jalil.


Keputusan itu mendapat reaksi positif dalam kalangan warga net sehingga untaian Tweet itu dikongsi lebih 1000 kali. Ada juga yang mengaitkan keputusan itu dengan faktor usia Jalil, yang menjadi Presiden dan CEO termuda PNB ketika dilantik tahun lalu pada usia 38 tahun.

35 views

©2020 by HyperlokalMY