• Hang Lekir

Kes Nurin Jazlin, memori pahit Ramadan 2007


Ramadan 2007, negara digemparkan dengan penemuan mayat Nurin Jazlin Jazimin yang sangat menyayat hati dalam sebuah beg sukan di Taman Petaling Utama, Petaling Jaya selepas 27 hari dilaporkan hilang.


Mayat kanak-kanak perempuan berumur lapan tahun itu ditemui dalam keadaan tidak berpakaian dan kedua-dua kakinya dilipat ke dada, sebelum disumbat dalam beg.



Tragedi itu bermula apabila Nurin Jazlin dilaporkan hilang ketika keluar ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju.


Susulan itu, pelbagai ikhtiar dilakukan pelbagai pihak termasuk operasi besar-besaran oleh polis sehingga ke sempadan negara, selain orang ramai yang turut membantu bagi mengesan murid tahun Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Setapak itu.


Ketika ditemui, ibu bapa Nurin Jazlin tidak dapat mengenal pasti mayat itu sebagai anak mereka kerana perubahan pada ciri-ciri fizikalnya, termasuk dianggap warga asing kerana tidak mempunyai parut suntikan Bacillus Calmette–Guerin (BCG).



Bagaimanapun, ujian DNA di Hospital Kuala Lumpur kemudian mengesahkan mayat itu adalah Nurin Jazlin. Jenazahnya dikebumilan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota, Setapak selepas solat Jumaat, 21 September 2007.


Pemergian Nurin Jazlin bukan sahaja amat menyedihkan bagi keluarganya, malah ditangisi oleh rakyat Malaysia.


Ketika jenazahnya disembahyangkan di Madrasah Assa’Adah, Seksyen 1, Wangsa Maju, imam solat jenazah, Abdul Aziz Elias Zahari menangis teresak-esak ketika membaca doa selepas mengimamkan solat yang disertai 200 jemaah.


Keluarga terdekat, ribuan orang ramai serta rakan sekolah dan guru, selain kenamaan turut hadir menziarah.


Dalam satu temubual bersama media tahun lalu, ibu kanak-kanak perempuan itu, Nor Azian Bistaman, 48, mengakui setiap kali Ramadan, ingatannya terhadap arwah Nurin Jazlin atau dipanggil Kak Ngah pasti kembali.



Ini kerana mayatnya dijumpai ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa.


Selepas 12 tahun berlalu, wanita tabah itu mengakui ingatannya terhadap Nurin Jazlin masih kuat dan tidak pernah putus berdoa agar penjenayah kejam yang membunuh anaknya ditangkap.


Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dalam temubual bersama Sinar Harian baru-baru ini berkata, kes itu berlaku ketika beliau baru saja mengambil alih tugas sebagai Ketua Polis Daerah Petaling Jaya.


“Bagi saya kes itu cukup mencabar kerana saya baru menjadi ketua di tempat baru dan apatah lagi kes berkenaan mendapat tumpuan orang ramai dan media.



“Siang dan malam saya sentiasa mengambil tahu perkembangan kes dan siasatan biarpun mayat arwah sudah ditemui,” katanya sambil menambah kes itu tidak pernah ditutup selagi tiada tangkapan dibuat ke atas suspek utama.

608 views

©2020 by HyperlokalMY