• Hang Lekir

Kluster kelab malam bantut rentak pemulihan Korea Selatan

Selepas diangkat sebagai negara model dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19, mimpi ngeri pandemik itu kembali menghantui Korea Selatan. Ia adalah gara-gara kluster pusat hiburan di Seoul, yang mencatatkan 86 kes positif jangkitan hari ini. Menurut agensi berita tempatan, 35 kes baharu direkodkan awal hari ini, menjadikan keseluruhan kes berjumlah 10,909. Bagaimanapun pada tengah hari tadi, Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit Korea Selatan (KCDC) memaklumkan, sebanyak 86 kes baharu dicatatkan, dikaitkan dengan kluster pusat hiburan. Ia dipercayai berpunca daripada seorang lelaki berusia 29 tahun yang positif selepas mengunjungi lima kelab malam dan bar di kawasan Itaewon awal Mei lalu. Bagaimanapun KCDC berkata, kluster itu berasal daripada asal usul berbeza, di mana pengarahnya, Jeong Eun-kyeong menjelaskan kepada pemberita bahawa ia membabitkan kelab malam berbeza dan pada tarikh berlainan. Perdana Menteri Korea Selatan, Chung Sye-kyun, berkata pegawai kesihatan berdepan kesukaran menjejak "ribuan orang" yang pergi ke kelab dan bar di Itaewon dan mendesak supaya semua pengunjung pusat hiburan tampil untuk diuji. Ledakan jangkitan baharu itu muncul pada ketika rakyat Korea Selatan mula menyusun hela nafas baharu selepas kerajaan melonggarkan peraturan penjarakan sosial minggu lalu.

153 views

©2020 by HyperlokalMY