• Hang Lekir

KPDNHEP komited bantu ringankan beban rakyat


Sejumlah RM680 juta diperuntukkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam Belanjawan 2021, khusus bagi menangani isu peningkatan kos sara hidup rakyat.


Ia membabitkan pelaksanaan tiga program subsidi bersasar, selain program penyeragaman harga yang diyakini mampu memberi kesan cukup signfikan terhadap usaha mensejahterakan kehidupan rakyat.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata selain Program Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS), turut dilaksanakan kementerian ialah Program Pengedaran Barang Perlu, Gas Petroleum Cecair (LPG) dan Community Drumming; Program Penyeragaman Harga Sabah, Sarawak dan Labuan serta Subsidi Tepung Gandum Kegunaan Am.


"Kesemua inisiatif ini berpaksikan kepentingan rakyat, dengan fokus utama membantu meringankan kos sara hidup rakyat, terutama golongan yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.


"Kita menerima peruntukan RM680 juta bagi meneruskan pelaksanaan kesemua inisiatif ini dalam Belanjawan 2021, sekali gus memperlihatkan kerajaan cukup konsisten untuk membantu rakyat," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Bicara Naratif - Belanjawan KPDNHEP 2021: Impak Kepada Ekonomi Dan Rakyat di Angkasapuri, di sini malam tadi.

Alexander berkata, bermula 1 November 2016, KPDNHEP mengambilalih pelaksanaan COSS dan sehingga kini, ia memberi manfaat kepada 33.2 juta rakyat yang menerima bekalan minyak masak bersubsidi pada kadar anggaran 2.5 kilogram per kapita sebulan


“Melalui COSS, kita berupaya meminimakan impak kenaikan harga minyak sawit mentah ke atas harga minyak masak, menstabilkan harga runcit minyak masak bersubsidi untuk kegunaan isi rumah tempatan dan memastikan bekalan mencukupi di pasaran,” katanya.


Untuk Belanjawan 2021, COSS menerima suntikan RM400 juta, dengan peruntukan itu berupaya memastikan kesinambungan usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat, terutama golongan sasar di bawah kategori B40.



Pelaksanaan COSS juga mampu menjamin harga minyak masak yang stabil di pasaran domestik dan mengurangkan impak perubahan harga minyak sawit mentah di pasaran dunia.


Alexander menjelaskan kementeriannya turut melaksanakan Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming yang memanfaatkan lebih 1.1 juta penduduk pedalaman dan luar bandar.


"Inisiaitif itu membolehkan penduduk mendapatkan tujuh barangan keperluan harian, termasuk LPG, petrol RON95 dan diesel mengikut ketetapan harga oleh kerajaan seperti di bandar.


“Ini dilaksanakan melalui khidmat 'transporter' tempatan dilantik, yang akan membeli barangan keperluan itu, seterusnya dihantar ke pusat jualan (POS) di lokasi pengedaran, termasuk kedai runcit untuk dijual pada harga dikawal kerajaan.


“Keseluruhannya, 163 'transporter' dalam dalam melaksanakan inisiatif itu tahun ini di 691 lokasi pengedaran sedia ada di empat negeri iaitu Sabah, Sarawak, Kedah dan Kelantan, membabitkan peruntukan RM150 juta," katanya.


Untuk 2021, katanya, KPDNHEP menerima tambahan RM50 juta bagi meneruskan inisiatif itu, menjadikan keseluruhan peruntukan berjumlah RM200 juta, dengan pelaksanaannya bakal diperluaskan ke 119 lokasi baharu di 34 zon di seluruh negara, termasuk Pulau Sakar di Sabah; Ulu Mujok (Sarawak) dan Pulau Redang di Terengganu.


KPDNHEP turut melaksanakan Program Penyeragaman Harga Sabah, Sarawak dan Labuan bagi menstabilkan harga serta bekalan barangan keperluan, khususnya di pekan kecil, kawasan pedalaman dan luar bandar.


"Untuk 2021, RM40 juta diperuntukkan bagi membiayai inisiatif ini, menyaksikan pertambahan peruntukan RM20 juta berbanding Belanjawan 2021.


"Ini memperlihatkan betapa pentingnya usaha mengawal kenaikan harga barang kawalan di pasaran seperti minyak masak, tepung gandum dan gula, malah turut memastikan harga barang kawalan di Sabah, Sarawak dan Labuan sama seperti di Semenanjung," katanya


Alexander berkata, pelaksanaan kesemua inisiatif itu, termasuk pemberian subsidi bersasar berupaya membantu mengawal kesan kenaikan harga barangan dalam ketidaktentuan ekonomi semasa, sekali gus mengelak bebanan kepada rakyat.



"Ini jelas memperlihatkan kerajaan sentiasa peka terhadap kebimbangan rakyat dan memahami keluh kesah mereka dalam menghadapi situasi ketidakstabilan ekonomi akibat CoVID-19 di seluruh dunia ketika ini," katanya.


Katanya, KPDNHEP juga melaksanakan pendekatan strategik lain bagi membantu usaha menangani peningkatan kos sara hidup rakyat, termasuk melalui tindakan penguatkuasaan.


"Ini turut membabitkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam melindungi proses persaingan demi kepentingan perniagaan, pengguna dan ekonomi melalui Akta Persaingan 2010 yang diperkasakan.


"Usaha memantau harga harian turut digalakkan melalui aplikasi PriceCatcher bertujuan membantu pengguna merancang perbelanjaan dengan memilih premis yang menawarkan harga berpatutan," katanya.


Sementara itu, KPDNHEP turut memainkan peranan aktif dalam Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) juga antara usaha utama membantu rakyat berdepan isu peningkatan kos sara hidup.


Keseluruhannya, tujuh kluster dikenalpasti terbabit secara langsung dalam isu berkenaan merangkumi

perumahan,

pengangkutan, pendidikan, utiliti, kesihatan, makanan dan e-dagang.


"KPDNHEP dengan kerjasama semua kementerian dan agensi yang menganggotai jawatankuasa peringkat kluster itu sudahpun mengambil langkah proaktif melalui penyediaan Pelan Tindakan Majlis Sara Hidup Negara 2020-2025 merangkumi 35 isu dan 103 syor penyelesaian.


"Ia akan dilaksanakan kementerian dan agensi berkaitan, namun sentiasa dipantau oleh NACCOL dalam memastikan keberkesanannya bagi membantu mengurangkan tekanan ke atas rakyat," katanya.

18 views0 comments

Recent Posts

See All