• Hang Lekir

KPDNHEP pantau rapi kenaikan harga bawang


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) komited dalam usaha menangani isu kenaikan harga bawang sejak kebelakangan kni menimbulkan rungutan dalam kalangan pengguna.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pihaknya memantau rapi perkembangan isu itu dan sentiasa mencari jalan terbaik bagi mengatasinya.


"Seperti barangan keperluan lain, harga bawang turut dipengaruhi faktor bekalan dan permintaan. Jika bekalan berkurangan dan tidak mampu menampung permintaan yang tinggi, ia tentunya akan mempengaruhi kenaikan harganya di pasaran.


"Ini yang berlaku ke atas bawang India, yang turut mempengaruhi keseluruhan bekalan bawang di negara ini, kecuali beberapa jenis bawang seperti bawang Holland," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.


Beliau berkata, pasukan penguatkuasa kementerian akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan di semua peringkat termasuk pembekal, pemborong serta peruncit dalam usaha menangani isu berkenaan.


"Kita tidak akan teragak-agak melaksanakan harga kawalan bagi menangani isu kenaikan harga bawang di negara ini jika didapati ada keperluan dan keadaan mendesak.


"Ini termaktub di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No. 2) (Pindaan) 2020," katanya.


Untuk rekod, bekalan bawang di negara ini diimport dari 29 buah negara, dengan lima negara adalah pengeskport terbesar iaitu India (36%), Pakistan (23%), China (19%), Belanda (9%) dan Thailand (7%).


India merekodkan jumlah pengeksportan bawang berjumlah 149,539,411 kilogram ke negara ini, bersandarkan permintaan tinggi yang dipengaruhi citarasa dan trend pemakanan rakyat tempatan.


Bagaimanapun, Kerajaan India pada 14 September lalu mengeluarkan arahan larangan eksport ke atas semua jenis bawang kecuali jenis Bangalore Rose dan Krishnapuram bagi menampung keperluan domestik mereka susulan banjir yang berlaku di negara itu.


Berikutan itu, 121 syarikat pengimport mula meningkatkan jumlah pengimportan bekalan bawang dari negara seperti Pakistan, China, Belanda dan Thailand.


Keseluruhannya, Malaysia mengimport lapan jenis bawang iaitu bawang kecil merah (India), bawang besar (India), bawang merah (China), bawang kecil merah (China), bawang kecil merah Rose, bawang kecil merah (Myanmar), bawang kecil merah (Thailand) dan bawang besar kuning (Belanda atau lebih dikenali sebagai bawang Holland).


Alexander menjelaskan Malaysia mengimport bawang dari pelbagai negara sebagai pendekatan strategik untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi, sekali gus mengelak kebergantungan hanya kepada sesebuah negara.


"Ini kerana jika sesebuah negara pengeksport itu mengalami bencana alam atau berlaku sekatan ekonomi, maka kita tidak akan terjejas dan bekalan sentiasa konsisten walaupun harganya akan menerima impaknya," katanya.


Pengimportan bawang adalah di bawah seliaan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), manakala KPDNHEP berperanan memastikan tiada aktiviti pencatutan atau kenaikan harga yang melampau, selain konsistensi bekalan di pasaran.

8 views0 comments

©2020 by HyperlokalMY