• Hang Lekir

Kunjungan Ramadan bawa ‘kelonggaran’ perintah berkurung di Arab Saudi


Selepas pelaksanaan perintah berkurung 24 jam oleh kerajaan sejak 2 April lalu, situasi pandemik COVID-19 di Arab Saudi ketika ini boleh dikatakan terkawal. Walaupun semalam mencatatkan sebanyak 1,147 kes positif baharu, dengan 92 peratus kes berlaku di Makkah, Madinah, Jeddah, Riyadh dan Hofuf. Laporan media tempatan menyebut kenaikan mendadak itu disebabkan ujian besar-besaran oleh kementerian kesihatan dalam usaha membendung penularan. Sebelum ini, pelaksanaan perintah berkurung dijalankan berpandukan tahap kritikal kes jangkitan di satu-satu tempat, seperti di Makkah dan Madinah, perintah berkurungnya 24 jam. Bagaimanapun, kedatangan bulan Ramadan membawa sedikit kelonggaran dalam tempoh waktu pelaksanaan perintah berkurung di seluruh negara. Sebagai warga Malaysia yang berada di Jeddah, kami cuba meminimumkan kontak dengan warga tempatan dan melakukan kuarantin sendiri dengan mengurangkan pergerakan dan bekerja dari rumah, bekalan makanan pula dibeli secara pukal di kedai runcit berhampiran. Cabaran dan kerisauan terbesar buat kami ketika ini ialah sejauh mana keadaan ini akan berterusan apabila kami membandingkan dengan keadaan di Malaysia yang bertambah baik. Untuk makluman, semua visa rakyat asing dilanjutkan sehingga perintah ‘lockdown’ terhadap lapangan terbang ditamatkan, manakala kegiatan ekonomi termasuk perniagaan berada di tahap minima. Perbezaan paling ketara antara Malaysia dan Arab Saudi dari kaca mata saya, saya melihat warga tempatan agak serius dengan penjarakan sosial. Ada yang naik berang jika penjarakan sosial tidak dijaga, waktu operasi kedai barangan penting pula sangat singkat malah ada kedai yang hanya dibuka untuk satu hingga dua jam. Daripada segi implimentasi sekatan jalan oleh pihak keselamatan saya melihat di Malaysia pasukan keselamatannya lebih tegas berbanding di sini. Kepatuhan terhadap PKP berdasarkan pengamatan saya dan bacaan media, saya lihat rakyat Malaysia lebih patuh berbanding rakyat di sini. Bagaimanapun, ia adalah pendapat daripada pengamatan saya yang terhad disebabkan oleh perintah berkurung oleh pemerintah di Jeddah, mungkin tempat lain keadaannya berbeza.


Mohd Arif (dua dari kanan) **Coretan ini dikongsikan Mohd Arif Iskandar Durahim yang bekerja sebagai juruukur bahan di Jeddah, Arab Saudi.

217 views

©2020 by HyperlokalMY