• Hang Lekir

#LambungBalik: Pagi Jumaat yang menggoncang Gunung Kinabalu


Jumaat, 5 Jun 2015, penduduk Ranau, daerah berhampiran Gunung Kinabalu memulakan hari seperti biasa, ada yang ke pasar, bercucuk tanam, menjual sayuran dan buah-buahan, selain berniaga dan bekerja di pejabat kerajaan dan swasta.


Hampir 200 individu termasuk kanak-kanak pula berada di pelbagai tahap ketinggian di Gunung Kinabalu. Ada yang mengambil gambar pemandangan puncak, ada yang dalam perjalanan turun, malah ada juga mendaki dalam kumpulan kecil.


Tiba-tiba jam 7.15 pagi, bunyi seakan-akan letupan kedengaran dari arah puncak gunung disusuli gegaran kuat gempa bumi berukuran 5.9 skala Richter.



Gegaran bukan saja dirasai di Ranau dan daerah berhampiran, malah sehingga ke Labuan yang jaraknya ratusan kilometer.


Seramai 173 pendaki dan malim gunung terperangkap. Usaha membawa turun menggunakan helikopter tidak berhasil kerana angin kuat dan kabus tebal.


Keseluruhannya 18 nyawa terkorban, sebahagiannya kanak-kanak sekolah dari Singapura, selain empat malim gunung. Kebanyakan mereka maut dihempap runtuhan batu-batu besar yang jatuh dari puncak Gunung Kinabalu.



Dalam tempoh setahun selepas itu, sebanyak 138 gempa bumi termasuk 137 gempa susulan direkodkan di Ranau.


Kesan gempa juga berlarutan untuk tempoh yang panjang. Ini termasuk banjir lumpur, hakisan tanah, penutupan aktiviti pendakian, selain kerosakan bangunan, pejabat kerajaan dan rumah.


Di Gunung Kinabalu, puncak dikenali Donkey Ears Peak turut runtuh dan tidak lagi berbentuk seperti asal.


Masjid Ar-Rahman di pekan Ranau juga ditutup selepas sebahagian bumbung runtuh dihempap menara masjid yang jatuh susulan gegaran kuat, begitu juga siling bilik darjah sekolah runtuh.


Bagaimanapun di sebalik tragedi itu, ada banyak iktibar. Antaranya penduduk mula didedahkan pengetahuan hadapi bencana, bangunan baru wajib memasang alat tahan gempa, selain banyak kajian mengenai gempa bumi dilaksanakan.



Gempa bumi juga mengangkat kisah keberanian dan pengorbanan malim gunung menyelamatkan pendaki yang dilaporkan secara meluas di media tempatan dan asing.


Ramai pendaki yang terkandas memuji kemahiran dan ketangkasan malim gunung menyelamatkan mereka dalam waktu cemas dan genting susulan gempa.



Australian Broadcasting Corporation (ABC) dalam laporannya menyifatkan malim Gunung Kinabalu sebagai wira yang perlu diberi sanjungan.


Pendaki Australia, Vee Jin Dumlao memberitahu ABC beliau amat terhutang budi kepada malim gunung bernama Jomius, yang bertungkus lumus membantu pendaki untuk tiba di tempat selamat selepas kejadian itu.


"Malim gunung adalah wira sejati. Mereka menggadai nyawa dan membuat keputusan rumit, yang akhirnya berjaya menyelamatkan nyawa kami," katanya.


Cable News Network (CNN) pula melaporkan malim gunung muncul wira dalam menyelamatkan mereka yang terkandas di puncak Gunung Kinabalu berikutan gempa bumi itu.


Pendaki tempatan, Nurul Hani Ideris, 29, memberitahu CNN: "Malim gunung itu nampaknya tahu setiap inci kawasan dan berjaya membuka ruang melalui landskap yang musnah teruk, dengan memotong dahan serta mengikat tali untuk mewujudkan laluan baharu."


68 views

©2020 by HyperlokalMY