• Hang Lekir

Laungan keramat San Siro bakal ‘disenyapkan’?


Bagi peminat bola sepak dunia, nama San Siro bukanlah sesuatu yang asing.


Apatah lagi ia menjadi gelanggang tuan rumah buat dua pasukan terkenal daripada saingan Serie A, AC Milan dan Inter Milan.


Namun, venue keramat buat dua pasukan seteru utama itu bakal digantikan apabila cadangan untuk merobohkannya tidak mendapat sebarang tentangan daripada pihak berkuasa warisan Itali.


Menurut laporan BBC Sport, stadium yang dibina pada tahun 1926 itu bakal digantikan dengan stadium yang baharu.


Tahun lalu, kedua-dua kelab itu memfailkan permohonan bersama untuk membina stadium baharu dengan kapasiti 60,000 tempat duduk bersebelahan dengan San Siro.


Walaupun ‘lampu hijau’ daripada pihak berkuasa warisan itu bukanlah keputusan yang menentukan 100 peratus projek itu akan dilaksanakan, ia adalah satu faktor penting dalam memastikan projek itu menjadi kenyataan.


Menurut pandangan pihak berkuasa tempatan Milan yang memiliki tapak itu, San Siro tidak memiliki sebarang nilai daripada aspek senibina untuk menghalangnya daripada dimusnahkan.


San Siro pernah melalui beberapa fasa pembangunan semula dan hanya sebahagian kecil struktur asal yang masih belum disentuh.


Wakil bandar, termasuk Datuk Bandar Milan, Giuseppe Sala berulang kali mempersoalkan rancangan untuk memusnahkan San Siro dengan kelab sudah mengubah pelan asal yang bakal menyaksikan keseluruhan stadium dimusnahkan.


Pelan pembangunan stadium baharu dalam peringkat perbincangan dengan beberapa perkara masih dalam pertimbangan, termasuk menggantikan keseluruhan bangunan stadium dan mengekalkan sebahagian kecil untuk dijadikan mercu tanda pembinaan sebuah kemudahan sukan baharu yang akan dibuka kepada orang ramai.

10 views

©2020 by HyperlokalMY