• Pupa Kupa

Legenda Bukit Tonggek UiTM Shah Alam

Pengalaman belajar di universiti pasti menjadi kenangan terindah buat bekas pelajar, tidak kira yang baru menamatkan pengajian mahupun telah puluhan tahun meninggalkan menara gading.

Bagi bekas pelajar UiTM Shah Alam, pasti ada secebis kenangan di Bukit Tonggek - bukit ikonik yang mendapat namanya berikutan fizikalnya yang sangat curam, menyebabkan postur badan individu yang mendakinya dalam keadaan tonggek.

Baru-baru ini, page Universiti Teknologi Mara - Media Rasmi di laman Facebook memuat naik video dengan caption 'Orang kata bukit ni jahat. Tapi kenapa?'

Video berdurasi 1 minit 8 saat itu dikongsi dari Twitter milik Ihsan Abdullah dengan caption 'Tertonggek di Bukit Tonggek.. Last loop, 52km'.

Ia memaparkan beberapa individu dipercayai peserta acara larian kelihatan kepenatan dan cuma berjalan kaki ketika berada di laluan Bukit Tonggek.

Posting itu mendapat pelbagai reaksi daripada bekas pelajar UiTM Shah Alam yang menceritakan pengalaman masing-masing berkaitan Bukit Tonggek.

"Bukit ni.. badan dah ke depan, punggung cicir belakang. Jahat bukit ni. Benci ya’mats (Kamus Socmed, 2015)," komen Jet, manakala Adnan Omar menyatakan "Byk kereta mengundur kt sini.....🤣."

Ada beberapa komen pula menyatakan banyak motosikal dan kereta semput, selain banyak kes mengundur ke belakang dek curamnya bukit lejen ini, terutama bagi mereka yang pertama kali melalui kawasan itu dan tidak tahu betapa 'jahatnya' Bukit Tonggek.

"Kalau lepak kat koridor bilik kawan d kolej teratai 4 mmg selalu tgk motor dgn keta x lepas naik, mengundur aje.. Yg turun terbabas hampir langgar pagar tadika bwah bukit tu pon ade..." menurut Fatmawati Ghazali.

Haryati Mohd Ehsan pula menyatakan "Mmg suka tengok org bawak motor atau keter yg first time dtg uitm kena undur balik, kalah ngan bukit tonggek."

Berdasarkan carian Hyperlokal di laman forum internet, ada individu mendakwa pernah disapa oleh lembaga hitam bertanduk panjang ketika berjoging di Bukit Tonggek pada lewat malam.

Sama ada benar atau tidak kisah seram itu, setiap pelajar UiTM Shah Alam pasti ada kenangan tersendiri di Bukit Tonggek.

24 views

©2020 by HyperlokalMY