• Hang Lekir

Liow Soon Hee bela nasib OKU

Pertubuhan Integriti Nicky Liow Malaysia (PINLM) menyampaikan sumbangan bulanan RM10,000 kepada Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Terencat Akal Melaka, Rabu lalu.


Penyampaian sumbangan itu adalah kesinambungan kepada sumbangan berterusan PINLM bagi tujuan kebajikan sejak tahun 2016.


Majlis penyampaian sumbangan berkenaan turut dihadiri Pengerusi dan Pengasas Winner Dynasty Group (WDG), Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.


Penasihat Eksekutif PINLM, Datuk John Lee Kim Tian mewakili WDG menyampaikan cek RM10,000 kepada pengendali pusat jagaan berkenaan, M Thomas.


Pihak WDG dan PINLM turut menyumbang barangan keperluan asas untuk kegunaan pusat jagaan terbabit.


Kim Tian dalam ucapan ringkasnya berkata, WDG dan PINLM akan terus komited dan konsisten memberi sumbangan kepada pusat jagaan berkenaan, walaupun keadaan ekonomi semasa kurang memberangsangkan akibat gelombang ketiga COVID-19.


"Saya difahamkan ada pusat jagaan dan rumah kebajikan yang berdepan masalah (kewangan) berikutan terdapat NGO atau persatuan yang terpaksa mengurangkan sumbangan mereka kepada tempat seperti ini.


"Kami memberi jaminan bahawa WDG dan PINLM akan terus menyalurkan sumbangan seperti dijanjikan walaupun kita tahu dengan keadaan semasa ekonomi negara dan global akibat COVID-19 sejak awal tahun ini," katanya.




Majlis berkenaan diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.


Sejak 2016, WDG dan PINLM sudah menyalurkan sumbangan kira-kira RM550,000 kepada Pusat Penjagaan Kanak-kanak Terencat Akal Melaka.


Sementara itu, Thomas merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada WDG dan PINLM serta Soon Hee kerana terus membantu pihaknya sejak 2016.


Selain bantuan kepada pusat jagaan itu, WDG menyalurkan pelbagai sumbangan lain sejak Mac lalu, antaranya 11 juta pelitup muka percuma; hand sanitizer untuk diedar ke sekolah, warga penjara dan petugas barisan hadapan, selain warga media serta agensi kerajaan dan swasta serta masyarakat yang memerlukan.


Sumbangan itu juga mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records sebagai Penyumbang Terbesar di Malaysia.

33 views

©2020 by HyperlokalMY