• Hang Lekir

Muat turun aplikasi atau berdepan hukuman

Penduduk sebuah bandar di India diberikan kata dua, muat turun aplikasi pengesanan kontak coronavirus di telefon pintar masing-masing atau berdepan hukuman jika gagal berbuat demikian. Dengan tidak mendapatkan aplikasi itu, ia boleh dianggap sebagai pelanggaran undang-undang perintah berkurung. Ia terkandung dalam satu arahan yang dikeluarkan polis di Noida, sebuah bandar di pinggir New Delhi dengan jumlah penduduk seramai 637,272 orang, lapor portal berita antarabangsa Buzzfeed News. Portal berita berkenaan yang melihat arahan dalam bahasa Hindi itu melaporkan, mana-mana individu yang didapati gagal memuat turun aplikasi berkenaan berdepan hukuman denda 1,000 rupees (RM56.72) atau penjara sehingga enam bulan. Seorang pegawai polis Noida memaklumkan, pihaknya akan melakukan pemeriksaan rambang bagi memastikan arahan memuat turun aplikasi itu dipatuhi. Bagaimanapun, tidak jelas apa yang akan berlaku jika individu tidak memiliki telefon pintar. Arahan itu mengundang bantahan daripada aktivis privasi India yang berpendapat ia adalah salah di sisi undang-undang dan melanggar perlembagaan. Lebih daripada separuh populasi India seramai 1.3 bilion tidak memiliki telefon pintar, namun kerajaan India sudah semakin mendesak rakyat negara itu memuat turun aplikasi pengesanan kontak digelar Aarogya Setu. Membawa maksud ‘jambatan menuju kesihatan' dalam bahasa Hindi, aplikasi itu menggunakan kombinasi pengisytiharan sendiri maklumat peribadi seperti sejarah perjalanan dan simpton, serta Bluetooth dan data lokasi yang memaparkan risiko jangkitan untuk penggunanya. Lebih daripada 90 juta rakyat India sudah memuat turun Aarogya Setu kurang daripada tempoh sebulan. Namun, aktivis privasi mempersoalkan potensi aplikasi itu yang boleh menjadi alat pemantau ketika dan selepas pandemik COVID-19. Antara lain, aplikasi itu memerlukan akses kepada lokasi penggunanya dan teknologi Bluetooth perlu diaktifkan sepanjang masa. India sudah merekodkan lebih 50,000 kes positif COVID-19, dengan 1,700 kematian dicatatkan. Negara itu dalam proses melonggarkan perintah berkurung yang dilaksanakan sejak 40 hari lalu.

54 views

©2020 by HyperlokalMY