• Hang Lekir

Mukhriz tanggal 'nametag' di saat akhir bergelar Menteri Besar Kedah

Secara rasminya umum mengetahui Datuk Seri Mukhriz Mahathir sudah melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah, pagi tadi dan ia disiarkan secara langsung oleh pelbagai agensi media di laman Facebook masing-masing. Hyperlokal yang berkesempatan menyaksikannya di Facebook Buletin TV3 tertarik dengan tindakan Mukhriz yang turut menanggalkan 'nametag' sebaik selesai sidang media. Sebaik melambaikan tangan ketika bergambar buat kali terakhir bersama barisan EXCO, Mukhriz mengambil ‘nametag’ di poket bajunya sambil mengangkat sebelum meletakkannya di atas meja.


Menariknya, ketika siaran langsung itu masih berjalan, terdengar suara para pengamal media yang ‘bercakap-cakap’ di belakang kamera supaya mengambil ‘nametag’ berkenaan. Hyperlokal kurang pasti tindakan Mukhriz melepaskan tanda nama yang diletakkan di meja yang dipenuhi dengan mikrofon dan perakam suara para media. Difahamkan, tanda nama Mukhriz itu diambil salah seorang petugas media yang membuat liputan sidang media berkenaan dan dia kemudian mendapatkan tandatangan bekas Menteri Besar berkenaan.


Ia sebagai tanda kenang-kenangan kerana difahamkan Mukhriz mempunyai hubungan yang baik dengan pengamal media di Kedah sejak dari mula ia dilantik sebagai Menteri Besar buat kali pertama pada 2013. Beruntung pengamal media yang berjaya mendapatkan tanda nama berkenaan kerana ia adalah sebahagian sejarah yang berlaku di Kedah pada hari ini. Jika di simpan dalam tempoh yang lama, ia ada ‘harga’.

1,267 views

©2020 by HyperlokalMY