• Hang Lekir

'My Beautiful Terengganu Photos' serlahkan mahkota Darul Iman

Sepanjang hampir dua bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kita menyaksikan pelbagai cara dipaparkan masyarakat untuk mengisi masa lapang bagi mengelakkan kebosanan ketika terpaksa 'berkurung' di rumah masing-masing. Antara cara yang dapat kita saksikan di platform media sosial adalah dengan membuka grup di Facebook sambil berkongsikan aktiviti harian mereka seperti memasak, kaedah bersenam di rumah dan sebagainya. Ramai antara kita yang pastinya sedar akan wujudnya sebuah grup Facebook yang menjadi fenomena di negara sehinggakan turut mendapatkan perhatian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang medianya tempoh hari, iaitu 'Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Official'.


Grup yang diwujudkan untuk berkongsi masakan yang tidak jadi seperti dimahukan itu berjaya memperoleh 1.8 juta pengikut hanya dalam masa dua minggu penubuhannya. Namun perkongsian kali ini, Hyperlokal ingin membawakan anda sebuah grup di Facebook yang diwujudkan kepada orang ramai untuk berkongsikan pengalaman ketika 'menyantuni' keindahan semula jadi mahu pun ciptaan tradisi di negeri pantai timur iaitu Terengganu.


Grup yang dikenali sebagai My Beautiful Terengganu Photos itu diwujudkan sejak minggu lalu. Walaupun baru hanya mengumpul 789 pengikut sehingga penulisan ini diterbitkan namun pelbagai foto yang menyerlahkan keindahan negeri yang mendapat jolokan si penyu itu dikongsikan oleh pengikutnya.


Seperti semua sedia maklum, Terengganu amat dikenali di serata dunia dek kerana memiliki permata yang tiada galang ganti iaitu keindahan pulau antaranya Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Kapas dan beberapa lagi. Namun begitu, bukan hanya foto keindahan flora dan fauna yang unik dikongsikan malah seni bina dan ukiran tradisional yang mungkin amat jarang dapat dilihat turut dikongsikan pengikutnya.


Selain itu, terdapat juga perkongsian yang menyerlah kebudayaan negeri ini yang semakin tenggelam dek arus kemodenan. Secara amnya, pengikut grup berkenaan terdiri daripada rakyat negeri Terengganu sendiri namun jika dipandang dari sudut berbeza ia secara tak langsung memberikan idea kepada orang luar untuk melawat lokasi menarik di negeri ini hanya dengan melihat keindahan yang dikongsikan orang tempatan.


Pengisian yang dipaparkan di grup berkenaan secara tidak langsung menyerlahkan lagi rahsia yang tersimpan lama di Terengganu untuk diterokai sama ada masyarakat dari dalam mahu pun luar negeri.



*Semua foto adalah hasil perkongsian pengikut grup My Beautiful Terengganu Photos

159 views

©2020 by HyperlokalMY