• Hang Lekir

Nasi Kandaq Hunters khusus untuk pemburu nasi kandar terbaik


Masak Apa Tak Jadi Hari Ini dan Suami Masak Apa Hari Ini adalah antara 'group' popular di Facebook yang lahir ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Group tersebut, serta pelbagai group lain yang fokus pada hobi tertentu termasuk dekorasi rumah, berkebun dan sebagainya menjadi medium bagi ahlinya bertukar pandangan serta mendapatkan info dan tips berkaitan untuk manfaat bersama.


Terbaharu, muncul pula group Nasi Kandaq Hunters yang diilhamkan oleh peminat nasi kandar bagi bersembang dan berkongsi apa sahaja berkaitan makanan kegemaran rakyat Malaysia itu.



Kumpulan Facebook itu dianggotai pelbagai lapisan masyarakat dan melangkaui sempadan kaum, asalkan peminat nasi kandar dan setakat hari ini telah menghimpun lebih 10,000 ahli sejak penubuhannya pada 30 Mei lalu.


Antara perkongsian daripada ahli group berkenaan ialah lokasi terbaik nasi kandar, serta pertanyaan tentang restoran nasi kandar paling 'surrrr' di sesuatu lokasi.


Sudah pasti, kebanyakan perkongsian adalah tempat makan terbaik di Pulau Pinang memandangkan nasi kandar berasal dari Pulau Mutiara, namun banyak juga posting mengenai lokasi nasi kandar popular di Lembah Klang serta negeri lain.



Kemeriahan perkongsian gambar nasi kandar berserta kuah banjir bukan sahaja membuatkan ahlinya kecur lidah, malah ada memuat naik hantaran memohon keluar group dek tekanan melihat gambar nasi kandar yang mengiurkan.


Tinjauan Hyperlokal di group berkenaan juga mendapati ada ahli berbahas mengenai keaslian sesuatu hidangan, sama ada ia boleh dikategorikan sebagai nasi kandar atau nasi mamak, mahupun sekadar nasi bersama kuah kari.



Apa pun pandangannya, rata-rata ahli group bersetuju bahawa citarasa masing-masing berbeza. Apa yang penting ia berjaya menyatukan peminat nasi kandar seantero Malaysia.


Bagi 'korang' yang berkira-kira nak pergi makan nasi kandar selepas kerajaan melonggarkan pergerakan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai esok, bolehlah 'recce' lokasi terbaik di group Nasi Kandaq Hunters.


Dah pergi makan nanti, jangan lupa patuh SOP, jaga jarak tu.



1,146 views

©2020 by HyperlokalMY