• Hang Lekir

Negeri Sembilan sepi tanpa mantai

Hari Mantai adalah satu kemestian serta sangat sinonim dengan adat dan budaya masyarakat Negeri Sembilan setiap kali menjelang, Ramadan, Aidilfitri mahupun Aidiladha. Mengikut dialek Negeri Sembilan, mantai dikatakan berasal dari perkataan membantai iaitu hari atau malam untuk menyediakan daging sembelihan pada hari sebelum Ramadan dan Hari Raya. Kemeriahan hari mantai dirasai hampir di seluruh Negeri Sembilan terutama di Seremban, Rembau, Jelebu, Jempol, Tampin dan Kuala Pilah, malah ada beberapa kawasan di Selangor yang bersempadan dengan negeri itu dikatakan turut menyambutnya.


Acara itu lazimnya sangat meriah disambut sehari sebelum Ramadan dan Syawal, melibatkan aktiviti gotong-royong melapah daging, membakar lemang, memasak juadah rendang, ketupat dan sebagainya. Bagi masyarakat Negeri Sembilan, hari mantai adalah salah satu adat dan budaya yang unik dan perlu diteruskan. Bagaimanapun akibat peredaran zaman ramai juga masyarakat tidak lagi menyambutnya dengan penyembelihan lembu, sebaliknya proses itu hanya membabitkan peniaga. Namun begitu, suasana di tepi-tepi jalan tetap meriah apabila orang ramai keluar beramai-ramai dan singgah membeli daging untuk dimasak di rumah.

Cuma, hari mantai buat kali pertama tidak diraikan tahun ini seperti sebelumnya susulan penularan wabak Covid-19. Tahun depan, jika negara bebas wabak itu, tentu kemeriahan tradisi mantai dapat dirasai semula.

106 views

©2020 by HyperlokalMY