• Hang Lekir

Orang Melaka boleh makan asam pedas di kedai mulai Jumaat


Berita baik untuk orang Melaka, khususnya pengusaha restoran dan kedai makan apabila kerajaan negeri itu hari ini memberi kebenaran untuk orang ramai makan dalam premis (dine in).


Kebenaran itu membabitkan restoran dan kedai makan berpremis termasuk mamak, medan selera, pusat penjaja, kedai makan tepi jalan berbumbung, kios serta kafe di hotel, namun bufet tidak dibenarkan.


Ia berkuat kuasa mulai Jumaat ini sempena Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka Ketujuh.


Bagi perniagaan dan penjajaan tanpa premis seperti kenderaan saji, penjaja beredar dan penjaja tepi jalan kekal beroperasi secara bawa pulang dan penghantaran seperti ditetapkan dalam tatacara operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).



Menurut Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali, kebenaran itu tertakluk kepada pematuhan SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan dan MKN, serta terhad sehingga jam 10 malam.


"Susun atur dalam premis mesti mematuhi SOP ditetapkan iaitu jarak dua meter antara meja bagi penjarakan sosial dan tidak melebihi empat orang semeja.


"Premis perlu menyatakan dengan jelas bilangan pelanggan yang dibenarkan pada satu-satu masa," katanya menerusi kenyataan hari ini.


Selain peniaga, berita itu juga pasti ditunggu-tunggu oleh orang ramai terutama yang telah lama tidak menikmati asam pedas di kedai, mahupun hidangan hasil laut segar di medan ikan bakar.


CREDIT FOTO: migrationology.com, Yoy Network

21 views

©2020 by HyperlokalMY