• Hang Lekir

Pasukan khas jejaki pesalah rentas negeri hingga ke rumah


Menyambut Aidilfitri di kampung halaman bersama ibu bapa pastilah menjadi momen yang amat dinanti-nantikan hampir keseluruhan umat Islam di negara ini.


Namun, pada ketika dunia sedang diserang pandemik, COVID-19 ini, pulang ke kampung secara merentas negeri tanpa izin adalah menjadi satu kesalahan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis 1967.


Tindakan itu bukanlah untuk 'merencatkan' sambutan Aidilfitri umat Islam di negara ini sebaliknya ia adalah salah satu kaedah untuk mengelakkan daripada wabak ini terus menular.


Justeru, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan khas bagi mengesan individu yang melakukan pergerakan rentas negeri tanpa kebenaran untuk menyambut Aidilfitri.


Pasukan khas yang turut dianggotai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu ditugaskan untuk melakukan pemantauan di kawasan perumahan dan kampung di seluruh negara.


"Arahan telah dikeluarkan kepada semua Ketua Polis Negeri untuk mengambil tindakan (pemantauan di seluruh negara).


"PDRM ada rekod siapa yang mendapat kebenaran rentas negeri dan siapa tidak," katanya.


Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata sebanyak 1,175 kenderaan dikesan cuba merentas negeri pada Sabtu lalu, diarah berpatah balik.


Beliau menasihatkan orang ramai untuk melupakan hasrat merentas negeri untuk balik kampung kerana ia sudah tentu menyusahkan diri sendiri apabila diarahkan untuk berpatah balik.

62 views

©2020 by HyperlokalMY