• Hang Lekir

Peniaga sayur hidap kanser kulit terima bantuan

Datuk John Lee (dua dari kanan) mewakili Pengasas Winner Dynasty Global, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee menyampaikan sumbangan RM60,000 untuk Liew Koon Eng menjalani rawatan.

Nasib seorang peniaga sayur wanita yang menghidap penyakit kanser kulit atau 'Melanoma Cancer' sejak awal tahun ini, mendapat perhatian syarikat pengurusan dana dan pelaburan, Winner Dynasty Group (WDG) dan Yayasan Winner Global Sedunia.


Pengerusi WDG, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee berkata, pihaknya dengan kerjasama Yayasan Winner Global Sedunia menderma RM60,000 bagi membantu Liew Koon Eng, 49, menjalani rawatan awal bagi mengatasi penyakit berkenaan.


"Sumbangan ini adalah bagi membantu Koon Eng mendapatkan suntikan imunisasi untuk mengurangkan risiko sel kanser kulit itu merebak lebih cepat ke bahagian anggota badan yang lain.


"Saya dimaklumkan, dia perlu mendapatkan suntikan setiap tiga minggu dan kos bagi setiap kali suntikan yang diimport dari luar negara itu mencecah RM12,000... untuk setahun pula, dia perlukan kira-kira RM220,000 untuk suntikan sahaja, belum termasuk kos (perubatan) lain.


Datuk John Lee (kanan) mewakili Pengasas Winner Dynasty Global, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee bersama kakitangan syarikat mengunjungi Liew Koon Eng yang menghidap penyakit kanser kulit

"Jadi, melalui sumbangan RM60,000 daripada pihak kami, kita harap ia dapat membantu dia dan keluarganya... kita juga berharap semuanya (keadaan kesihatan) kembali pulih selepas setahun rawatan (melalui suntikan) ini dijalankan," katanya.


Koon Eng yang sebelum ini mampu meraih pendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan hasil jualan sayur-sayuran di pasar pagi di Petaling Jaya, kini berdepan masalah kehilangan punca pendapatan sejak pandemik Covid-19 melanda negara, awal tahun ini.


Lebih menyukarkan keadaan, suaminya, Huang Wei Xiong, 50, mengalami serangan angin ahmar yang membataskan pergerakan dan tidak mampu melakukan kerja berat sejak lapan tahun lalu.


"Keadaan keluarga ini amat sukar... sebelum Covid-19, mereka mampu memperoleh sehingga RM4,000 sebulan, sekarang (pendapatan) sangat merosot, ada kalanya hanya dapat RM800 sahaja," katanya.


Sementara itu, Koon Eng berkata, sumbangan pihak WDG dan Yayasan Winner Global Sedunia sangat dihargai dan ia jelas menunjukkan sikap prihatin Soon Hee membantu mereka yang dalam kesulitan.


"Saya hampir putus asa apabila memikirkan masalah (penyakit) ini... dengan punca pendapatan semakin merosot, kami perlu fikirkan juga kos pelajaran untuk anak kami yang kini berusia 14 tahun.


"Sumbangan Datuk Seri Nicky sudah tentu dapat meringankan sedikit bebanan yang keluarga kami pikul.


"Semoga ia memberi semangat kepada saya, suami dan anak untuk terus tabah berdepan ujian ini," katanya yang turut meminta bantuan Persatuan Kebajikan Amal Da Ai Malaysia bagi menampung kos perubatan bagi penyakit dihidapinya.

267 views

©2020 by HyperlokalMY