• Pupa Kupa

Perihal Muhyiddin, COVID-19 dan buah tangan Soderbergh

Pada Jumaat 13 Mac lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam siaran langsung dalam pelbagai platform dan saluran menyampaikan perutusan khas mengenai wabak COVID-19.

Isinya, tindak balas kerajaan susulan WHO mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik.

Jika anda menyangka tulisan ini mengandungi huraian langkah kerajaan menangani masalah akibat COVID-19, berhentilah membaca di sini dan layarilah portal berita.

Perenggan ini dan seterusnya akan bercerita mengenai warna baju Muhyiddin dan kaitannya dengan Gywneth Paltrow serta kisah si OCD dan tombol pintunya.

Serentak Perdana Menteri tanpa manifesto itu berucap, dengan berkemeja warna biru pucat, sepucat itu jugalah wajah Gwyneth Paltrow dalam filem yang ditayangkan di saluran berbayar negara.

Inilah detiknya untuk sang pencinta ironi, pada 13 Mac, Jumaat, perutusan COVID-19 Muhyiddin Yassin ke udara seiring tayangan Contagion, buah tangan Steve Soderbergh mengenai serangan wabak penyakit yang tidak diketahui.

Filem itu memberi impak yang tersendiri pada masa kini, 11 tahun selepas tayangan perdananya, berilhamkan serangan wabak SARS pada 2003, penonton pasti tidak dapat lari daripada mengaitkannya dengan COVID-19.

Contagion dibarisi pelakon Gred A, ditulis Scott Z Burns dan digarap dengan gaya ‘hyperlink cinema’ Soderbergh, persamaannya dengan situasi terkini menaikkan bulu roma.

Realitinya, minda kita tidak dapat lari daripada menjadikan apa yang berlaku dalam Contagion sebagai perkara paling buruk yang boleh berlaku kesan COVID-19.

Inilah yang memberikan satu keseraman tatkala menyaksikan Contagion, apabila dengan mudah kita dapat mengaitkan watak dimainkan Kate Winslet, Lawrence Fishburn serta Jude Law dengan individu sebenar dalam dunia nyata.

Begitu juga cara Soderbergh menunjukkan keupayaan penyakit itu merebak dengan pantas di seluruh dunia, menjadikan jumlah penduduk sebagai pengenalan untuk setiap bandaraya yang dipaparkan, di saat COVID-19 sudah mencatat 238 kes di Malaysia, 126,100 orang dijangkiti di seluruh dunia dan lebih 4,600 meninggal dunia setakat artikel ini ditulis.

Karakter OCD (Gangguan Obsesif Kompulsif) Soderbergh sendiri menyumbang gerak kerja kamera Contagion pada babak pembukaannya, dengan bijak menunjukkan bagaimana virus itu merebak daripada kad kredit dipegang Paltrow sebagai ‘patient zero’ kepada kakitangan lapangan terbang dan setiap kali tombol pintu dipegang.

Ia sekaligus tidak dapat mengelak untuk kita mengaitkannya dengan ijtimak tabligh di Sri Petaling, festival kuil di Pulau Pinang dan sorakan padu ratusan penonton JDT di luar stadium Sultan Ibrahim.

Dalam Contagion, kemungkinan formula vaksin ditemui watak dimainkan Jennifer Ehle sebagai seorang saintis di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, ketika mangsa maut mencecah 2.5 juta di Amerika Syarikat dan 26 juta di seluruh dunia.

Begitu juga harapan rakyat seluruh dunia, supaya saintis segera menemui vaksin COVID-19, untuk melumpuhkan terus penularannya pada saat dunia sudah mula merasa kesannya, tidak terhad kepada kesihatan sejagat malah ekonomi dunia turut terkesan.

Berdasarkan laporan PBB, kerugian akibat COVID-19 dianggarkan mencecah AS$1 trilion untuk tahun 2020, manakala Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) menjangka menyebabkan pengurangan hasil dalam industri penerbangan antara AS$4 hingga 5 bilion di seluruh dunia.

Babak penutup Contagion memaparkan beberapa sebelum watak Paltrow dijangkiti di China, jentolak memusnahkan pokok dan mengganggu habitat sekumpulan kelawar, salah seekornya kemudian terbang melintasi sebuah kandang dan menjatuhkan pisang sebelum dimakan oleh seekor babi.

Babi itu kemudian disembelih oleh seorang chef yang kemudian bersalaman dengan watak Paltrow di dalam sebuah kasino.

Tulisan ini bukanlah ulasan filem, yang akan menulis kritikan plot watak atau lakon layar Contagion, bukan juga hasil nukilan penulis Rotten Tomato dengan ulasan ‘art berat’ mereka.

Ia mungkin sekadar satu perlambangan yang mengundang perdebatan yang klise, ‘life imitates art or art imitates life’, atau ia hanyalah satu tindakan ‘trigger happy’ seorang penulis yang sukakan ironi, bagaimanapun sejujurnya Contagion adalah filem yang sesuai ditonton seisi keluarga, dalam rumah, ketika dalam isolasi kesan penularan wabak COVID-19.

29 views

©2020 by HyperlokalMY