• Hang Lekir

PKPB beri sinar pada yang 'menderita'


Mutakhir ini, kita lihat di media sosial lebih banyak kritikan berbanding pujian terhadap keputusan kerajaan berhubung kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Isnin ini. Bagaimanapun, keputusan berat yang diputuskan kerajaan itu pastilah dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk situasi ekonomi negara terkesan akibat wabak COVID-19. Sektor pelancongan paling terkesan akibat pandemik ini apabila menyaksikan penutupan hotel-hotel, selain itu, terdapat juga syarikat media terpaksa gulung tikar kerana penangan wabak ini.


Itu tidak termasuk berapa ramai peniaga kecil yang kini mungkin terpaksa bergantung hidup atas bantuan kerajaan semata-mata. Secara logiknya, dengan ketiadaan aktiviti ekonomi dari dalam dan luar negara, sudah pasti ia memberi kesan buruk terhadap kestabilan ekonomi sesebuah kerajaan itu sendiri.

Anggap sahaja kerajaan itu adalah diri kita, jika asyik keluarkan duit tetapi duit yang masuk tiada, berapa lama dapat bertahan? Dengan bilangan yang diberhentikan kerja semakin ramai, bayangkan berapa pula peruntukkan yang perlu disediakan PERKESO untuk membayar Sistem Insurans Pekerjaan (SIP)? Bagi mereka yang masih punya pendapatan tidak berat untuk kalian berhadapan dugaan begini namun sebaliknya kepada golongan yang diberhentikan, ia adalah ujian yang sangat ‘pedih’ ‘sakit’ untuk dihadapi. Mereka yang terkesan ini sebolehnya mahu bekerja dengan kadar segera terutamanya yang sudah berkeluarga kerana ada mulut yang perlu disuap. Hakikatnya, mereka sedar bukan mudah untuk mendapatkan kerja dalam situasi ketika ini. Hanya mampu berdoa, dengan izin dari-Nya melalui langkah kerajaan melonggarkan PKP, ekonomi akan perlahan-lahan pulih seterusnya memberi sinar kepada mereka untuk mendapatkan kerja secepat mungkin. Bermula Isnin ini, semuanya bergantung pada disiplin diri sendiri. Tidak lagi boleh bergantung pada frontliner. Kita adalah frontliner untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Mereka yang tiada keperluan untuk keluar, duduklah di rumah. Ini bukan masa untuk bergembira. Ingatlah bahawa perang kita belum tamat.

164 views

©2020 by HyperlokalMY