• Hang Lekir

Pura Tanjung Sabtu - Warisan Melayu Terengganu yang semakin 'tenggelam'


Sayang seribu kali sayang. Itulah ungkapan yang paling sesuai digunakan apabila membicarakan perihal khazanah alam Melayu tinggalan nenek moyang kita sejak berkurun lamanya di negeri Terengganu iaitu Pura Tanjung Sabtu.


Keindahan seni bina alam Melayu yang berusia sekurang-kurangnya 200 tahun itu kini hampir 'tenggelam' menjadi hutan rimba apabila tiada pihak yang tampil untuk memulihara khazanah itu sebagai warisan untuk masa depan. Pura Tanjung Sabtu memperoleh namanya daripada gabungan perkataan sanskrit ‘Pura’ yang membawa maksud istana, kuil atau bandar sementara ‘Tanjung Sabtu’ adalah nama desa yang menempatkan binaan itu.


Pemilik asal istana yang dibina pada kurun ke-19 ini adalah Allahyarham Tengku Ismail Bin Tengku Su. Binaan ini adalah hasil daripada gabungan sebahagian istana dan enam rumah Melayu Tradisional Terengganu. Ia dibina dengan gaya golongan bangsawan Istana Terengganu malah lebih unik ia berdiri tanpa menggunakan sebatang paku.


Hyperlokal difahamkan, istana yang terletak kira-kira 14 kilometer dari Bandar Kuala Terengganu ini pernah dijadikan sebagai 'Royal Homestay' di sekitar tahun 90-an namun sudah tidak dirapi apabila pemiliknya meninggal dunia. Beberapa tahun lalu, nasib Pura Tanjung Sabtu pernah menjadi bualan masyarakat setempat sehingga mendapat perhatian kerajaan negeri namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil oleh mana-mana pihak untuk memulihara senibina Melayu itu.




Sumber foto FB Warisan Pahlawan Melayu

2,557 views

©2020 by HyperlokalMY