• Hang Lekir

Ramadan kedua tanpa Acap

Ramadan ini adalah yang kedua Mohammad Ashraf Hassan atau lebih dikenali sebagai Acap tidak berpuasa bersama keluarga, malah sehingga kini masih tidak diketahui di mana dia berada. Peserta Gopeng Ultra Trail 2019 itu sudah 13 bulan hilang tanpa jejak selepas tidak tiba di garisan penamat sebelum rakannya membuat laporan mengenai kehilangannya. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Acap berusia 29 tahun itu ditangguhkan pada 17 April 2019, iaitu 26 hari selepas kehilangannya pada 23 Mac. Difahamkan, abangnya, Mohd Zahiruddin tidak berputus mencari Acap, juruteknologi makmal perubatan di Klinik Kesihatan Daerah Muar, melalui kumpulan kecil di sekitar lokasi dia dilaporkan hilang. Bagaimanapun dilaporkan usaha pencarian terhenti akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak COVID-19. Sempena Ramadan kali ini, abangnya yang menggunakan nama Denny Lang di Facebook, memuat naik hantaran ringkas tetapi cukup sebak kelmarin: "Salam Ramadhan... Selamat berpuasa adik Mohd Ashraf." Beliau turut berkongsi semula satu hantaran dimuat naiknya pada hari kedua Ramadan tahun lalu: "Salam Ramadhan Al Kareem. Sudah Hari Kedua Kita Menjalani Ibadah Puasa. Sedikit Coretan Pada Misi Tempoh Hari. Alam mistik terlalu sukar utk kita fahami. Sebagai abang saya sebolehnya menolak sebarang kaitan entiti dlm isu ini. Tetapi kuasa Allah bila dikata jadi maka jadilah. Dipertemukan dgn seribu satu kisah dibumi Gopeng merupakan satu ilmu baru bagi kami. Sedia maklum soscmed ini brsifat terbuka. Ada netizen dari luar daerah juga ada kalangan dari penduduk tempatan bumi bertuah Gopeng. Mungkin ada yg berasa kurang senang jika insiden ini membuka sesuatu rahsia atau perkara yg terlalu sensitif utk mereka perkatakan. Namun.. Percayalah.. Jauh di sudut hati saya.. Tiadalah lain yg saya harap.. Hanya kepulangan acap sahaja menjadi fokus utama saya. Apa sahaja petunjuk yg mungkin membawa kepada penemuan acap terpaksa diambil kira. Saya Tak Boleh Berhenti Disini. Maafkan saya." Bagi kami di Hyperlokal, walau di mana Acap berada, doa kami agar dia sentiasa tenang dan dilindungi Allah. Semoga keluarganya juga diberikan ketenangan serta dipermudahkan segala urusan.

200 views

©2020 by HyperlokalMY